Kerajaan Selangor sedia bantu petugas kesihatan tangani tekanan beban kerja

25 Sep 2026, 9:30 AM
Kerajaan Selangor sedia bantu petugas kesihatan tangani tekanan beban kerja
Kerajaan Selangor sedia bantu petugas kesihatan tangani tekanan beban kerja
Kerajaan Selangor sedia bantu petugas kesihatan tangani tekanan beban kerja

SHAH ALAM, 25 SEPT: Kerajaan Selangor sedia menyediakan sokongan intervensi bagi membantu petugas kesihatan yang berdepan isu tekanan akibat beban tugas melampau di hospital negeri itu.

Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari berkata langkah itu bagi memastikan kebajikan barisan hadapan sentiasa terpelihara demi kelangsungan sistem perkhidmatan kesihatan awam yang mampan.

Beliau berkata, antara sokongan yang boleh diselaraskan meliputi bantuan saringan kesihatan mental serta kebajikan berdasarkan keperluan golongan itu.

"Sekarang kita kena lihat isu intervensi apa yang boleh dibantu terutama sokongan kepada doktor, pasukan perubatan dan jururawat.

"Apa sokongan yang diperlukan. Perlu bincang sebab kita takut nanti salah beri dan ia tidak menjadi betul,” katanya pada Majlis Libat Urus Belanjawan 2027 Negeri Selangor di Selangor International Trade Center (SITC) di sini, hari ini.

Terdahulu, beliau menjawab pertanyaan seorang doktor wanita di sebuah hospital di Lembah Klang yang memohon Kerajaan Negeri membantu menyelesaikan atau memantau tekanan yang dihadapi petugas kesihatan hospital di Selangor.

Tambah Amirudin, Kerajaan Negeri mempunyai ekosistem sokongan kesihatan mental yang boleh diselaraskan sekali gus membantu golongan berkenaan berdepan situasi semasa, khususnya ketika di tempat kerja.

"Sebagai contoh, mungkin sokongan itu berkaitan isu rumah. Kita boleh fikir untuk memberi kuota 'smart sewa'.

"Kita juga memang ada sokongan mental. EXCO Kesihatan Awam dan Alam Sekitar (Jamaliah Jamaluddin) boleh melihat bagaimana memberi sokongan kepada mereka yang mengalami tekanan ini," katanya.

Dalam pada itu, Amirudin berkata Kerajaan Negeri berhasrat membantu memenuhi keperluan hospital awam termasuk isu kekurangan tenaga kerja menerusi potensi kolej perubatan Universiti Selangor (UNISEL).

Menurutnya, masalah tersebut merupakan antara cabaran besar yang perlu ditangani di Selangor, selain mampu mengurangkan tekanan bebanan kerja serta mengoptimumkan penyampaian perkhidmatan kesihatan awam kepada rakyat.

"Soal itu juga adalah cabaran besar sebab kita akan kekurangan jururawat dan pasukan perubatan kita tidak lengkap tanpanya.

"Biarpun bidang kesihatan berada di bawah Kementerian Kesihatan (KKM), kerajaan negeri boleh memainkan peranan dalam menyokong ekosistem kesihatan di negeri ini," katanya.

Kategorinasional

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.