SHAH ALAM, 12 MEI: Walaupun profesion kejururawatan sering dikaitkan dengan wanita, kehadiran jururawat lelaki kini semakin diperlukan terutama dalam situasi kritikal yang memerlukan kekuatan fizikal dan tindakan pantas.
Meski bukan pilihan utama bagi sesetengah pesakit wanita, golongan itu tetap memainkan peranan penting dalam melengkapkan sistem penjagaan kesihatan di hospital.
Bagi jururawat pembedahan di hospital swasta MSU Medical Centre, Mohamad Fadzwan Alamansa, 25, beliau memilih kerjaya itu kerana peluang pekerjaan yang meluas selain keperluan tenaga kerja lelaki dalam situasi tertentu.
"Saya pilih bidang jururawat sebab profesion kejururawatan didominasi wanita dan masih kekurangan pekerja lelaki, jadi peluang pekerjaan masih banyak.
"Kelebihan lelaki saya rasa dia macam mostly tu fizikal lah. Mostly sister suruh tolak pesakit pergi ward, angkat barang, angkat pesakit, transfer pesakit dari bed ke wheelchair," katanya ketika ditemui Media Selangor.
Beliau turut menekankan jururawat lelaki perlu sentiasa menjaga sensitiviti dan privasi pesakit, khususnya wanita Islam.
"Biasanya bagi pesakit wanita, kami akan ketuk pintu dan minta izin terlebih dahulu bagi memastikan mereka bersedia sekiranya masih belum bertudung," katanya.

Sependapat dengannya, jururawat kecemasan Mohamad Adam Zulrushdi, 25, berkata tugasnya bukan sekadar memberi rawatan, tetapi perlu bijak mengawal situasi dan emosi pesakit.
"Antara cabaran jururawat ialah mengendalikan pesakit agresif, dimana kami perlu mengasingkan pesakit agresif dan kenal pasti punca sebelum mengambil tindakan lanjut seperti memanggil pengurus jika keadaan tidak terkawal," katanya.
Beliau berkata skop tugas jururawat lelaki dan wanita adalah sama, namun lelaki mempunyai kelebihan dari segi fizikal selain membantu menstabilkan situasi ketika berdepan tekanan tinggi.

Bagi Kaleemullah Jan Muhammad Zia-ul-Haq, 23, situasi disalah anggap sebagai pembantu perubatan sudah menjadi perkara biasa sepanjang bergelar jururawat lelaki.
“Ada juga yang salah anggap dan fikir jururawat ini hanya perempuan dan anggap jururawat lelaki sebagai pembantu perubatan,” katanya.
Menurutnya, kekurangan jururawat lelaki menyebabkan tenaga kerja golongan itu semakin diperlukan dalam industri kesihatan termasuk menerima permintaan tinggi dari luar negara.
“Jururawat lelaki banyak permintaan dari luar negara sebab tenaga kerja lelaki dalam bidang ini masih kurang,” katanya.

Keperluan itu turut diakui Mus’ab Mohd Narawi, 24, yang pernah berdepan detik mencabar di jabatan kecemasan apabila terpaksa meneruskan prosedur CPR meskipun pesakit mengalami kecederaan dalaman.
“Dalam situasi itu, saya dapat rasa tulang rusuk pesakit patah tapi saya terpaksa teruskan untuk selamatkan nyawa dan alhamdulillah pesakit berjaya diselamatkan,” katanya.
Menurutnya, walaupun kejururawatan sering dianggap sebagai profesion wanita, ia tidak menghalang lelaki untuk menceburi bidang tersebut kerana membantu pesakit tidak bergantung kepada jantina, sebaliknya keikhlasan hati.
Untuk rekod, pada tahun 2025 Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) menyasarkan peningkatan penyertaan jururawat lelaki daripada empat peratus kepada 10 peratus, berbanding hanya 2,823 lelaki daripada keseluruhan 70,653 jururawat.
Ia bagi memenuhi keperluan sektor kesihatan yang semakin berkembang selari kemajuan teknologi dan penggunaan peralatan perubatan moden.








