SHAH ALAM, 24 SEPT: Seorang anggota polis trafik patah tangan kiri dan kaki kanan selepas dirempuh kereta dipandu seorang lelaki yang cuba melarikan diri daripada sekatan jalan raya (SJR) di Ipoh, pagi tadi.
Ketua Polis Daerah Ipoh Asisten Komisioner Muhammad Najib Hamzah berkata kejadian berlaku kira-kira 9.45 pagi ketika sepasukan anggota trafik dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Ipoh menjalankan SJR di Jalan Silibin.
Menurutnya, anggota mengarahkan sebuah kereta berhenti untuk pemeriksaan namun pemandunya yang berusia 29 tahun enggan mematuhi arahan sebelum memecut meninggalkan lokasi.
“Anggota yang bertugas sempat mengelak daripada dirempuh dan tiga anggota trafik lain mengejar kenderaan terbabit,” katanya dalam kenyataan, lapor Harian Metro.
Muhammad Najib berkata sebaik tiba di lampu isyarat berhampiran Bangunan Setiausaha Kerajaan Negeri (SUK) Perak, suspek yang berada di lorong kiri secara tiba-tiba membuat pusingan U.
Tindakan itu menyebabkan kereta terbabit merempuh seorang anggota trafik yang mengejarnya sehingga mangsa patah tangan kiri dan kaki kanan.
“Akibat rempuhan itu, mangsa mengalami kecederaan patah tangan kiri dan kaki kanan sebelum dikejarkan ke Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) untuk rawatan lanjut,” katanya.
Beliau berkata suspek kemudian terus melarikan diri ke arah Gunung Lang dan turut memandu melawan arus berhampiran sebuah restoran makanan segera sebelum terbabas di lampu isyarat Taman Wing Onn.
Lelaki itu berjaya ditahan dan semakan awal mendapati dia tidak memiliki lesen memandu, manakala cukai jalan kenderaan sudah tamat tempoh. Ujian saringan awal air kencing turut mendapati suspek positif dadah jenis methamphetamine.
Muhammad Najib berkata kes disiasat mengikut Seksyen 44(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.






