SHAH ALAM, 26 OGOS: Tiga lelaki berusia antara 20 hingga 40 tahun ditahan kerana disyaki terlibat dalam perlumbaan motosikal haram di Lebuhraya Linkedua, Johor yang tular baru-baru ini.
Ketiga-tiga suspek cuba melarikan diri ketika polis menyerbu kawasan parkir sebuah kondominium di Sentul kira-kira 1.30 pagi, namun berjaya diberkas, lapor Berita Harian.
Pengarah Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Bukit Aman, Datuk Seri Muhammed Hasbullah Ali berkata operasi dijalankan Unit Risikan dan Operasi JSPT susulan video tular memaparkan perlumbaan berkenaan.
“Daripada tiga tangkapan itu, seorang dipercayai terlibat sebagai penunggang motosikal perlumbaan atau joki, manakala dua lagi adalah penonton,” katanya.
Semua suspek dibawa ke Balai Trafik Kulai, Johor untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 42(1) dan Seksyen 81(2) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
Video berdurasi 33 saat yang tular sebelum ini memaparkan dua penunggang berlumba di lebuh raya berkenaan kira-kira 7 pagi pada 22 Ogos.
Kejadian dipercayai berlaku dari Kilometer 33, Susur Tol Senai hingga Kilometer 31, Susur Johor Premium Outlet (JPO).
Rakaman itu turut menunjukkan beberapa individu dipercayai menghalang laluan bagi memberi ruang kepada perlumbaan, selain mercun dibakar selepas aksi berkenaan tamat.
Muhammed Hasbullah berkata polis akan terus mengambil tindakan tegas terhadap pihak yang terbabit dalam kegiatan perlumbaan haram kerana bukan sahaja membahayakan peserta, malah pengguna jalan raya lain.
Sebelum ini, lapan lelaki tempatan berusia antara 26 hingga 45 tahun turut ditahan kerana dipercayai mempunyai kaitan dengan kejadian sama.
Semua mereka, termasuk seorang pempengaruh permotoran, direman empat hari bagi membantu siasatan.







