SHAH ALAM, 28 JULAI: Polis menumpaskan dua sindiket penipuan dalam talian atau "calling centre" yang beroperasi di Forest City, Iskandar Puteri, Johor susulan penahanan 335 individu termasuk warga asing pada 15 Julai lalu.
Ketua Polis Johor Datuk Ab Rahaman Arsad, berkata kesemua suspek yang ditahan terdiri daripada 309 warga China, 19 warga Indonesia, empat warga Myanmar dan tiga warga tempatan berusia antara 20 hingga 58 tahun, lapor Berita Harian.
Menurut beliau, semua suspek ditahan dalam operasi bersepadu yang dijalankan serentak ke atas 27 unit apartmen dan lima banglo yang dijadikan pusat operasi sindiket berkenaan.
"Operasi ini berjaya melumpuhkan dua sindiket berbeza yang menjalankan kegiatan penipuan dalam talian seperti tawaran pelaburan mata wang kripto dan 'love scam' dengan menyasarkan mangsa dari luar negara, khususnya China dan Indonesia.
"Hasil serbuan turut membawa kepada rampasan 313 unit komputer, 1,557 telefon bimbit, 17 komputer riba, 10 modem, sebuah kenderaan utiliti sukan (SUV) Mazda CX-8 serta pelbagai peralatan lain yang dianggarkan bernilai RM1 juta," katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor, hari ini.
Ab Rahaman berkata sindiket itu menggunakan aplikasi Telegram, WhatsApp dan TikTok bagi mencari mangsa sebelum menawarkan pulangan pelaburan tidak wujud.
"Mereka dipercayai bertindak sebagai ejen pencari pelanggan dan dijanjikan gaji bulanan antara RM2,500 hingga RM4,000," katanya.
Ab Rahaman berkata, kumpulan kedua disyaki menjalankan penipuan dengan menyamar sebagai firma guaman, selain menawarkan pelaburan dan pelaburan mata wang kripto palsu kepada mangsa di luar negara.
Mengulas sama ada sindiket itu mempunyai kaitan dengan isu pusat latihan warga asing yang pernah dibangkitkan di Forest City sebelum ini, beliau berkata, siasatan mendapati kedua-dua perkara itu tidak mempunyai sebarang hubungan.
Beliau berkata, polis percaya dalang utama sindiket masih bebas dan usaha mengesannya sedang giat dijalankan termasuk melalui kerjasama dengan Polis Antarabangsa (INTERPOL).







