Penguat kuasa Selangor diingat jangan salah guna kuasa

24 Sep 2026, 8:27 AM
Penguat kuasa Selangor diingat jangan salah guna kuasa
Penguat kuasa Selangor diingat jangan salah guna kuasa

KUALA LANGAT, 24 SEPT: Penguat kuasa diingatkan supaya sentiasa menjaga tingkah laku dan tidak menyalahgunakan kuasa ketika melaksanakan tugas, kata Setiausaha Kerajaan Negeri.

Dato’ Dr. Ahmad Fadzli Ahmad Tajuddin berkata penguat kuasa perlu menjaga etika perkhidmatan awam kerana mereka merupakan duta yang membawa imej jabatan serta Kerajaan Selangor.

Timbalan Komandan Pusat Latihan Penguat Kuasa Selangor (PULAPES), Mohamad Azam Bustamam (kiri) menyampaikan cenderhati kepada Timbalan Setiausaha Kerajaan (Pengurusan) Negeri Selangor, Dato’ Amirul Azizan Abd Rahim dalam Majlis Latihan Kursus Asas Penguat Kuasa Selangor Tahun 2026 di Pusat Latihan Penguat Kuasa Selangor (PULAPES), Kampung Permatang Pasir, Jugra, Banting pada 24 September 2026. Foto MOHD KHAIRUL HELMY MOHD DIN/MEDIASELANGOR

“Setiap tindakan, tutur kata dan keputusan mencerminkan nilai serta budaya organisasi di tempat bertugas. Tugas dilaksanakan pasti tidak mudah dan penuh rencam.

“Cabaran akan datang daripada pelbagai sudut daripada masyarakat yang enggan mematuhi undang-undang sehinggalah kepada tekanan sosial dan politik.

“Namun, apa yang akan membezakan seorang penguat kuasa biasa dengan seorang penguat kuasa cemerlang adalah keupayaan untuk melaksanakan tugas secara adil, tegas tetapi tetap berhemah,” ucapnya.

Beliau berucap pada majlis Tamat Latihan Kursus Asas Penguatkuasa Selangor 2026 di Pusat Latihan Penguatkuasa Selangor (PULAPES) di Jugra, Banting hari ini.

Terdahulu, teks ucapan beliau dibacakan Timbalan Setiausaha Kerajaan (Pengurusan) Selangor Dato’ Amirul Azizan Abd Rahim.

Pada masa sama, beliau mengingatkan penguat kuasa sentiasa menjaga integriti berikutan penugasan pada masa kini dalam era masyarakat yang semakin celik undang-undang dan berani bersuara.

“Integriti penjawat awam sentiasa diperhatikan, bukan sahaja semasa bertugas, malah di luar waktu kerja. Oleh itu, penguatkuasaan mesti disertai dengan pendekatan komunikasi yang bijak dalam menyantuni masyarakat.

“Penguat kuasa juga diharap sentiasa menanamkan semangat berpasukan, kerana kekuatan sebenar sebuah jabatan tidak pernah lahir daripada kehebatan seorang individu, sebaliknya daripada pasukan yang bersatu hati,” katanya lagi.

Peserta terbaik, Muhammad Aizat Farhan Mohd Zaini,26 bergambar bersama keluarganya dalam Majlis Latihan Kursus Asas Penguat Kuasa Selangor Tahun 2026 di Pusat Latihan Penguat Kuasa Selangor (PULAPES), Kampung Permatang Pasir, Jugra, Banting pada 24 September 2026. Foto MOHD KHAIRUL HELMY MOHD DIN/MEDIASELANGOR

Sementara itu, Penolong Penguatkuasa Majlis Perbandaran Hulu Selangor (MPHS) Muhammad Aizat Farhan Mohd Zaini, 26, yang dinobatkan sebagai pelatih terbaik menyifatkan anugerah diterima adalah hasil doa ibu bapa dan isterinya.

“Sebelum bertugas di MPHS, saya merupakan tukang masak di Institut Kemahiran Belia Negara Peretak hampir tiga tahun. Tetapi, ibu mahu saya menjadi penguatkuasa mengikut jejak langkah abang.

“Alhamdulillah, berkat doa mereka dan isteri saya berjaya menamatkan kursus selama dua bulan. Walaupun isteri ada bertanya kepayahan ketika latihan tetapi saya tidak bercerita kerana ini semua mendidik saya menjadi penguatkuasa yang baik,” katanya.

Kategoriselangor

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.