ad

SPRM kesan penguat kuasa simpan RM1.5 juta, barang kemas, wang tunai

15 Sep 2025, 7:12 AM
SPRM kesan penguat kuasa simpan RM1.5 juta, barang kemas, wang tunai

PUTRAJAYA, 15 SEPT: Seorang pegawai Jabatan Imigresen dikesan menyimpan kira-kira RM1.5 juta dalam akaun miliknya serta keluarga hasil serbuan Op Rentas oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Kuala Lumpur, baru-baru ini.

Menurut hantaran menerusi akaun rasmi TikTok SPRM, hasil siasatan mendapati suspek mempunyai lebih RM1 juta dalam akaun Tabung Haji atas nama dirinya, isteri dan anak-anak, manakala lebih RM400,000 disimpan dalam akaun Amanah Saham Bumiputera (ASB).

Selain itu, SPRM turut merampas barang kemas bernilai anggaran RM60,000 serta wang tunai RM13,900 daripada suspek berkenaan.

Dalam operasi sama, SPRM Kuala Lumpur merampas wang tunai RM150,000, termasuk RM125,000 yang ditemukan di atas bumbung rumah seorang pegawai wanita, selain barangan kemas bernilai RM15,000.

Seorang lagi suspek wanita pula dikesan menyimpan barang kemas bernilai RM80,000 serta wang tunai RM41,470 dan 13,300 baht.

Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Operasi) SPRM Datuk Seri Ahmad Khusairi Yahaya berkata ketiga-tiga suspek dipercayai bersekongkol dengan sindiket counter setting, dan disyaki menerima rasuah sebagai balasan untuk memudahkan urusan kemasukan warga asing ke negara ini tanpa mengikut prosedur ditetapkan.

“Op Rentas telah dijalankan serentak di empat negeri oleh Bahagian Perisikan SPRM sejak Selasa lepas,” katanya.

- BERNAMA

Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd, anak syarikat Pemerbadanan Menteri Besar Selangor (MBI), berperanan sebagai agensi media Kerajaan Negeri. Selain portal Selangorkini dan SelangorTV, syarikat ini juga menerbitkan portal dan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil dan Inggeris.