AGC rayu keputusan bebas remaja kes bunuh pelajar Bandar Utama

24 Sep 2026, 4:15 AM
AGC rayu keputusan bebas remaja kes bunuh pelajar Bandar Utama

SHAH ALAM, 24 SEPT: Jabatan Peguam Negara (AGC) memfailkan rayuan terhadap keputusan Mahkamah Tinggi yang melepas dan membebaskan seorang remaja lelaki daripada pertuduhan membunuh pelajar perempuan di sebuah sekolah menengah di Bandar Utama, Petaling Jaya.

AGC memaklumkan notis rayuan difailkan di Mahkamah Rayuan pada Selasa lalu, lapor Berita Harian.

Pada 14 September, Mahkamah Tinggi melepas dan membebaskan remaja berusia 15 tahun itu selepas mendapati dia tidak siuman ketika kejadian.

Hakim Adlin Abdul Majid turut memerintahkan remaja berkenaan ditempatkan dan menjalani rawatan di Hospital Bahagia Ulu Kinta, Perak atas perkenan Sultan Selangor.

Remaja itu sebelum ini didakwa membunuh rakan sekolahnya yang berusia 16 tahun di tandas pelajar perempuan sebuah sekolah menengah kebangsaan di Bandar Utama antara jam 9.20 pagi hingga 9.35 pagi pada 14 Oktober 2025.

Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

Bagaimanapun, Seksyen 97(1) Akta Kanak-Kanak 2001 menetapkan hukuman mati tidak boleh dikenakan terhadap individu berusia bawah 18 tahun.

Peguam bela remaja itu, Kitson Foong sebelum ini berkata mahkamah mendapati pihak pembelaan berjaya membuktikan syarat di bawah Seksyen 84 Kanun Keseksaan berhubung pembelaan atas alasan tidak waras dari sudut perubatan dan undang-undang.

Kategorinasional

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.