RUU wajibkan pemandu mabuk bayar pampasan dibentang awal 2027

12 Okt 2026, 9:47 AM
RUU wajibkan pemandu mabuk bayar pampasan dibentang awal 2027
RUU wajibkan pemandu mabuk bayar pampasan dibentang awal 2027

SHAH ALAM, 12 OKT: Rang Undang-Undang (RUU) pindaan Akta Pengangkutan Jalan 1987 bagi mewajibkan pesalah memandu di bawah pengaruh alkohol atau dadah membayar pampasan kepada mangsa kemalangan dijangka dibentangkan pada sesi pertama Parlimen tahun depan.

Menteri Pengangkutan Anthony Loke berkata keputusan dasar berhubung cadangan itu sudah dipersetujui Jemaah Menteri beberapa bulan lalu, manakala draf pindaan kini sedang disediakan bersama Jabatan Peguam Negara (AGC).

"Keputusan dasar telah dibuat oleh Kabinet. Jadi, tugas Kementerian Pengangkutan sekarang ialah menyediakan draf akta atau rang undang-undang itu, sudah tentu bersama AGC.

"Proses itu akan mengambil sedikit masa kerana kita perlu mengambil kira banyak aspek teknikal," katanya pada sidang media di Putrajaya, hari ini seperti dilapor Astro Awani.

Loke menjelaskan, pindaan berkenaan bertujuan menggabungkan proses jenayah dan tuntutan sivil supaya mahkamah boleh memutuskan bayaran pampasan kepada mangsa dalam prosiding kes berkaitan.

Menteri Pengangkutan Anthony Loke ketika sidang media di Putrajaya, hari ini. — Foto BERNAMA

Katanya, ketika ini, pemandu yang melakukan kesalahan memandu di bawah pengaruh alkohol atau dadah boleh didakwa melalui proses jenayah, namun mangsa perlu memfailkan tuntutan sivil secara berasingan untuk mendapatkan pampasan.

Keadaan itu menyukarkan mangsa yang tidak berkemampuan menanggung kos tindakan undang-undang, selain proses tuntutan yang boleh mengambil masa bertahun-tahun.

"Apa yang kita sedang lakukan sekarang ialah kita mahu menggabungkan kedua-dua sistem ini menjadi satu. Jadi, apabila kes dibawa ke mahkamah, hakim juga boleh memberikan pampasan kepada mangsa," katanya.

Beliau berkata cadangan pindaan itu turut mengambil kira prinsip diyat dalam undang-undang Islam yang merujuk kepada pemberian pampasan kepada mangsa atau waris.

Loke berharap pendekatan berkenaan dapat memudahkan mangsa memperoleh pampasan sewajarnya, sekali gus memastikan proses keadilan dilaksanakan dengan lebih berkesan.

Kategorinasional

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.