SHAH ALAM, 24 SEPT: Belanjawan 2027 perlu memberi tumpuan kepada peningkatan pendapatan petani dan penternak supaya mereka terus kekal dalam sektor pertanian.
Pakar pertanian Alias Saad berkata peningkatan hasil pengeluaran sahaja tidak mencukupi sekiranya kos operasi terus meningkat dan menekan pendapatan bersih pengusaha.
“Walaupun kita telah berjaya meningkatkan hasil, jika kos pengeluaran itu tinggi, maka pendapatan kumpulan sasaran seperti petani, peladang, peserta atau penternak tidak membawa apa-apa kesan kepada mereka,” katanya ketika dihubungi Media Selangor.
Menurutnya, isu pertanian tidak boleh dilihat hanya dari sudut keterjaminan makanan kerana kelangsungan pengusaha turut menentukan keupayaan negara mengekalkan pengeluaran makanan.
Alias berkata tekanan pendapatan boleh mendorong pengusaha beralih kepada aktiviti lain yang memberi pulangan lebih baik.
“Jika kita tidak berikan jaminan kepada mereka, penglibatan mereka dalam industri pertanian ini, mereka akan pilih bidang lain,” katanya.
Beliau memberi contoh sebahagian pesawah di Selangor Barat yang berdepan pilihan untuk menukar tanaman apabila hasil padi tidak lagi memberikan pulangan setimpal dengan kos dan usaha.
Katanya, kerajaan perlu menilai masalah sebenar di lapangan sebelum menentukan bentuk intervensi dan peruntukan dalam Belanjawan 2027.
Alias turut menegaskan usaha menarik generasi muda ke sektor pertanian perlu diberi perhatian memandangkan sebahagian besar petani sedia ada berusia 60 tahun ke atas.
“Jika kita gagal menyediakan pelapis, akan tiba satu masa nanti walaupun kita mempunyai teknologi canggih dan benih berpotensi tinggi, kita tetap berdepan masalah jika tiada orang untuk mengusahakan ladang, sawah dan kebun,” katanya.
Beliau berkata kejayaan Belanjawan 2027 tidak seharusnya diukur berdasarkan jumlah peruntukan semata-mata, sebaliknya pada perubahan terhadap produktiviti dan pendapatan pengusaha.
Alias mempunyai pengalaman lebih 40 tahun dalam sektor pertanian, termasuk bersama Guthrie, Sime Darby, RISDA dan Jabatan Perdana Menteri serta pernah terlibat dalam perangkaan Rancangan Malaysia, Dasar Agro Makanan, Bidang Ekonomi Utama Negara dan inisiatif bioekonomi.
Perdana Menteri Datuk Seri Anwar yang juga Menteri Kewangan dijadualkan membentangkan Belanjawan 2027 di Dewan Rakyat pada 9 Oktober ini.
Beliau sebelum ini memaklumkan prinsip ekonomi manusiawi akan menjadi antara pertimbangan utama kerajaan dalam merangka Belanjawan 2027 bagi memastikan pertumbuhan ekonomi negara diterjemahkan kepada peningkatan maruah, kesejahteraan dan peluang kepada rakyat.
Katanya, proses penyediaan belanjawan tahun depan perlu mengambil kira persoalan asas mengenai tujuan sebenar pembangunan ekonomi, bukan sekadar mengejar angka pertumbuhan, pelaburan atau produktiviti.








