Nelayan dan petani Selangor sambut baik subsidi, harap agihan lebih sistematik

5 Mei 2026, 3:00 AM
Nelayan dan petani Selangor sambut baik subsidi, harap agihan lebih sistematik
Nelayan dan petani Selangor sambut baik subsidi, harap agihan lebih sistematik
Nelayan dan petani Selangor sambut baik subsidi, harap agihan lebih sistematik
Nelayan dan petani Selangor sambut baik subsidi, harap agihan lebih sistematik

SHAH ALAM, 5 MEI: Nelayan dan petani di Selangor menyifatkan inisiatif subsidi antara RM300 hingga RM500 oleh Kerajaan Negeri sebagai bantuan yang “tepat pada masa” susulan peningkatan kos operasi akibat ketegangan geopolitik di Asia Barat yang turut menjejaskan harga diesel dan bahan mentah.

Namun, mereka berharap mekanisme agihan bantuan tersebut dapat diperincikan dan dilaksanakan secara lebih sistematik bagi memastikan ketelusan serta keberkesanan penyaluran kepada golongan sasar.

Rata-rata pengusaha sektor pertanian dan perikanan yang ditemui Media Selangor berkata kenaikan harga diesel serta bahan input memberi tekanan ketara terhadap kos operasi harian, termasuk bahan pembungkusan dan peralatan kerja.

Pengerusi Persatuan Kebajikan Nelayan dan Peniaga-Peniaga Ikan Sekinchan, Dato’ Chia Choon Theng berkata, kenaikan kos pengangkutan dan bahan mentah menyebabkan harga peralatan menangkap ikan meningkat antara 30 hingga 40 peratus.

Pengerusi Persatuan Kebajikan Nelayan dan Peniaga-Peniaga Ikan Sekinchan, Dato’ Chia Choon Theng

“Peningkatan harga barangan ini agak mengejutkan, mencecah sekitar 30 hingga 40 peratus. Oleh itu, kami berharap subsidi daripada Kerajaan Negeri Selangor ini dapat membantu meringankan beban ekonomi kami pada tahap tertentu.

“Saya akan berhubung dengan wakil rakyat tempatan dan pihak berkaitan untuk memahami lebih lanjut cara penyaluran subsidi ini,” katanya.

Pada 16 April lalu, Kerajaan Selangor memperkenalkan Pakej Pengukuhan Daya Tahan Selangor dengan peruntukan RM131 juta, khusus bagi mendepani krisis geopolitik di Asia Barat ketika ini.

Fasa pertama pakej ini merangkumi pengukuhan sekuriti makanan, pengurangan kos sara hidup, kawalan inflasi, peningkatan penggunaan pengangkutan awam, serta bantuan bersasar kepada golongan paling terkesan.

Bagi menyokong pesawah, nelayan, petani, dan penternak yang terkesan oleh kenaikan harga bahan api seperti diesel, sebanyak RM25 juta diperuntukkan untuk membiayai kos bahan api atau input pertanian.

Ini bermakna kerajaan akan menyalurkan subsidi antara RM300 hingga RM600 sebulan selama enam bulan, yang bakal memberi manfaat kepada 17,237 individu bermula Jun ini secara berperingkat.

Kos peralatan meningkat

Ketua Bagan Seri Sekinchan, Chia Yeow Leong berkata meskipun diesel nelayan masih menerima subsidi kerajaan, kenaikan harga peralatan seperti pukat, kayu dan bahan pembungkusan tetap memberi tekanan besar kepada pengusaha.

“Kos penyelenggaraan dan pembaikan bot juga meningkat. Jadi, subsidi kerajaan negeri sedikit sebanyak membantu menampung perbelanjaan tersebut,” katanya.

Beliau berkata hanya bot laut dalam kelas C2 paling terkesan kerana tidak menikmati subsidi diesel.

Seorang nelayan sedang membaiki bubu jaringnya di Jeti Nelayan Sabak Bernam. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI

Agihan ikut keluasan

Sementara itu, pesawah Lee Eng Siong berharap mekanisme agihan subsidi dibuat berdasarkan keluasan sawah bagi memastikan bantuan lebih adil dan bersasar.

“Jika bantuan diberikan secara pukal, ia mungkin tidak mencukupi kerana ada yang hanya mengusahakan setengah lot, ada pula sehingga 40 atau 50 lot.

“Agihan mengikut keluasan lebih adil dan benar-benar membantu mengurangkan beban petani,” katanya.

Pesawah melakukan kerja menyemai anak benih padi menggunakan Jentanam (transplanter) di petak sawah sekitar Sekinchan pada 9 Ogos 2023. Foto BERNAMA

Hasil tidak menentu

Pesawah Wong Fock Ming pula berkata kos jentera pertanian yang menggunakan diesel serta kos menuai padi kini meningkat sehingga dua kali ganda.

Katanya, hasil padi juga tidak menentu setiap musim kerana faktor cuaca dan risiko serangan perosak.

“Musim menuai dijangka bermula pertengahan Mei, jadi kami akan mendapatkan maklumat lanjut mengenai subsidi daripada ketua kampung,” katanya.

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.