Gempa lemah di Batu Pahat: Penduduk sangka lori punca gegaran

22 Sep 2026, 1:19 PM
Gempa lemah di Batu Pahat: Penduduk sangka lori punca gegaran
Gempa lemah di Batu Pahat: Penduduk sangka lori punca gegaran

KUALA LUMPUR, 22 SEPT: Gempa bumi lemah bermagnitud 4.4 yang melanda perairan Batu Pahat, Johor, petang tadi mengejutkan penduduk di beberapa kawasan apabila gegaran singkat itu pada awalnya disangka berpunca daripada kenderaan berat yang melalui kawasan berkenaan.

Seorang penduduk, Efendy Mohamed, 54, berkata ketika kejadian pada 4.55 petang, beliau yang berada di tempat kerjanya di Jalan Rogayah menyangka gegaran itu hanya disebabkan lori atau kenderaan berat yang melintasi kawasan berkenaan.

“Namun, beberapa minit kemudian saya menerima beberapa mesej dalam aplikasi WhatsApp daripada beberapa kumpulan yang menyatakan daerah ini berlaku gempa bumi,” katanya.

Efendy berkata rakan-rakan sepejabatnya turut merasai gegaran berkenaan, malah ada yang menyedarinya menerusi “kocakan air dalam cawan” mereka.

Seorang lagi penduduk, Mohd Fazli Mohamad, 43, berkata dia turut merasai gegaran singkat selama beberapa saat ketika berjalan menuju ke keretanya.

“Saya rasa kepala saya ini bergegar, macam ketika pening kepala pun ada … tapi sekejap saja selepas itu dah tiada, ingatkan tiada apa-apa rupa-rupanya beberapa minit lepas itu heboh,” katanya.

Di MELAKA, Pembantu Tadbir Kartini Barmah, 29, yang bertugas di sebuah pejabat di Ayer Keroh berkata beliau sedang menyiapkan tugasan apabila tiba-tiba merasai gegaran pada 5 petang.

“Mula-mula saya rasa hairan kenapa tiba-tiba rasa meja bergegar dan kemudiannya panik selepas menyedari gegaran tersebut mungkin disebabkan oleh gempa bumi.

“Saya kemudiannya bertindak keluar dari pejabat yang terletak di tingkat satu untuk melihat keadaan sekitar kerana bimbang juga kalau bangunan ini retak,” katanya.

Wartawan Kosmo! Nur Diyanatul Atiqah Zakarya, 37, berkata beliau bersama sekumpulan wartawan yang sedang menyiapkan tugasan di Pejabat Kelab Pengamal Media Melaka di Ayer Keroh turut merasai gegaran berkenaan.

Nur Diyanatul Atiqah berkata pada mulanya beliau menyangka gegaran itu berpunca daripada lori yang menggunakan Lebuh SPA (Lebuhraya Sungai Udang-Paya Rumput-Ayer Keroh) berhampiran pejabat kelab media berkenaan.

“Selepas tengok kumpulan WhatsApp bersama Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Melaka baru tahu ada gempa bumi di Selat Melaka yang menyebabkan gegaran di Pejabat Pendidikan ini,” katanya.

Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) mengesahkan gempa bumi lemah bermagnitud 4.4 itu berlaku pada 4.55 petang di perairan Batu Pahat pada kedalaman 10 kilometer.

Pusat gempa dikesan di koordinat 1.7 darjah Utara dan 102.7 darjah Timur, iaitu kira-kira 27 kilometer di barat daya Batu Pahat, dengan gegaran turut dirasai di kawasan sekitar.

Kategorinasional

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.