Tiga pelakon teater persenda Rukun Negara ditahan

22 Sep 2026, 7:59 AM
Tiga pelakon teater persenda Rukun Negara ditahan

KUALA LUMPUR, 22 SEPT: Polis menahan tiga individu bagi membantu siasatan penularan video pementasan teater yang didakwa mempersendakan Rukun Negara serta menyentuh sensitiviti kaum.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman Datuk M Kumar berkata, pementasan berkenaan berlangsung pada 2018 di Penang Performing Arts Centre (PenangPAC), Pulau Pinang, namun rakamannya hanya tular semula baru-baru ini selepas dimuat naik di media sosial, lapor Astro Awani.

Beliau berkata, tiga daripada lima pelakon yang dikenal pasti terlibat dalam pementasan itu ditahan untuk dirakam keterangan sebelum dibebaskan dengan jaminan polis.

“Daripada lima pelakon yang dikenal pasti, tiga telah ditahan bagi membantu siasatan. Seorang telah meninggal dunia manakala seorang lagi dipercayai berada di United Kingdom berdasarkan rekod imigresen,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada media selepas sidang media Ops Pedo 3.0 di Bukit Aman, hari ini.

Menurutnya, pementasan berdurasi kira-kira 10 minit itu dipercayai diadakan secara tertutup dan tiada laporan polis dibuat ketika ia dipersembahkan pada 2018.

Katanya, siasatan dijalankan mengikut Seksyen 4(1) Akta Hasutan 1948 dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.

Dalam masa sama, polis sedang mengesan individu yang memuat naik dan menularkan rakaman berkenaan di media sosial.

“Hasil semakan terhadap telefon bimbit dan peranti milik individu yang ditahan tidak menemukan sebarang rakaman atau kandungan pementasan tersebut.

“Sebab itu kita sedang mengesan individu yang memuat naik dan menularkan video berkenaan kerana rakaman itu tidak ditemukan dalam simpanan mereka,” katanya.

M Kumar berkata, tiga individu yang ditahan terdiri daripada seorang lelaki dan dua wanita, dengan tangkapan dibuat di beberapa lokasi di Selangor dan Johor.

Beliau berkata, siasatan turut meliputi latar belakang penganjuran pementasan berkenaan sebelum kertas siasatan dirujuk kepada Jabatan Peguam Negara untuk arahan lanjut.

Terdahulu, Unit Siasatan Jenayah Terkelas (USJT), JSJ Bukit Aman mengambil alih siasatan selepas satu laporan polis dibuat susulan penularan video yang memaparkan lima pelakon membaca prinsip Rukun Negara yang diselang-seli dengan sindiran serta kenyataan yang didakwa boleh menjejaskan keharmonian masyarakat.

Semakan awal polis mendapati rakaman itu dipercayai daripada pementasan teater pada 2018 sebelum dimuat naik semula di media sosial sempena sambutan Hari Malaysia baru-baru ini.

Kategorinasional

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.