Dua individu dikenal pasti, video persenda Rukun Negara

20 Sep 2026, 8:07 AM
Dua individu dikenal pasti, video persenda Rukun Negara

SHAH ALAM, 20 SEPT: Dua individu dipercayai terbabit dalam video yang mempersenda Rukun Negara dan kembali tular sejak minggu lalu sudah dikenal pasti pihak berkuasa.

Menteri Komunikasi Datuk Seri Fahmi Fadzil berkata Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) memberi kerjasama penuh kepada Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) dalam siasatan kes berkenaan.

Menurut beliau, beberapa aspek siasatan masih dijalankan termasuk usaha mengesan pihak lain yang mungkin mempunyai kaitan dengan penyebaran semula video tersebut.

“Setakat semalam, SKMM memberi kerjasama penuh kepada Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman (PDRM) dan ada beberapa aspek siasatan yang sedang berjalan termasuk usaha untuk mengesan.

“Saya difahamkan dua individu berjaya dikenal pasti yang terlibat dalam video tersebut,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Majlis Kampung Angkat MADANI Kementerian Komunikasi 2025 di Surau Kampung Tebat Kering, di sini hari ini, lapor KOSMO! ONLINE.

Fahmi menjelaskan video terbabit bukan kandungan baharu sebaliknya dipercayai dirakam kira-kira lapan tahun lalu sebelum dimainkan semula sehingga kembali tular sejak kebelakangan ini.

“Video itu lapan tahun lalu tetapi dimainkan semula menjadi viral semula dalam tempoh seminggu kebelakangan ini.

“Pihak SKMM dan PDRM akan mengeluarkan apa-apa kenyataan dari semasa ke semasa tentang status siasatan,” katanya.

Terdahulu, media melaporkan sebuah video pementasan yang mengandungi unsur penghinaan terhadap institusi raja, negara Malaysia serta Rukun Negara tular, sehingga mencetuskan desakan supaya pihak berkuasa menjalankan siasatan dan mengambil tindakan terhadap pelaku.

Kategorinasional

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.