Media sosial uji penghayatan Rukun Negara, hormati perbezaan pandangan ​

16 Sep 2026, 5:00 AM
Media sosial uji penghayatan Rukun Negara, hormati perbezaan pandangan ​
Media sosial uji penghayatan Rukun Negara, hormati perbezaan pandangan ​
Media sosial uji penghayatan Rukun Negara, hormati perbezaan pandangan ​

SHAH ALAM, 16 SEPT: Budaya cacian dan permusuhan akibat perbezaan pendapat di media sosial antara cabaran besar terhadap penghayatan prinsip Kesopanan dan Kesusilaan dalam Rukun Negara.

Penolong Naib Canselor (Pemerkasaan Adiwangsa) Universiti Teknologi MARA berkata prinsip itu seharusnya diterjemahkan melalui interaksi termasuk ketika berkomunikasi dalam ruang digital.

Menurut Profesor Dr Amer Shakir Zainol, perbezaan pandangan merupakan perkara biasa dalam kehidupan, namun cara seseorang menyantuninya menentukan sama ada keharmonian dapat dikekalkan.

“Perbezaan akan ada di mana-mana sahaja. Kita dengan kawan sebelah pun apabila berborak mesti ada perbezaan pandangan.

Penolong Naib Canselor (Pemeekasaan Adiwangsa) Universiti Teknologi MARA (UiTM) Profesor Dr Amer Shakir Zainol ketika ditemu bual dalam program Bicara Semasa di Media Selangor, Shah Alam pada 11 September 2026.Foto HAFIZ OTHMAN/MEDIA SELANGOR

“Tetapi ia harus kembali kepada prinsip Kesopanan dan Kesusilaan supaya kita lebih memahami dan bertindak dengan betul,” katanya dalam program Bicara Semasa terbitan Media Selangor, baru-baru ini.

Jelasnya, cabaran itu semakin ketara apabila kenyataan positif yang dimuat naik di media sosial turut menerima maklum balas bertentangan atau bernada negatif dalam ruangan komen.

Katanya, keadaan tersebut bukan sekadar memberi kesan kepada individu atau kelompok tertentu, malah boleh menjejaskan usaha membina masyarakat harmoni dan bersatu padu.

“Kadang-kadang apabila kita tengok di media sosial, kenyataan yang diberikan itu jelas positif tetapi kita lihat sahaja ruangan komen, sudah ada yang bercanggah dengan kenyataan positif tadi.

“Di sinilah cabarannya. Bukan cabaran sesebuah masyarakat tetapi cabaran dalam negara kerana dalam usaha membina negara yang harmoni dan bersatu padu, kita dihujani cabaran ini,” katanya.

Dr Amer berkata masyarakat perlu kembali memperkasakan nilai kesopanan dalam kehidupan seharian meskipun cara berkomunikasi berubah seiring perkembangan teknologi.

Beliau turut mengambil contoh masyarakat terdahulu yang menitikberatkan adab ketika berkunjung ke rumah orang lain sebagai gambaran bagaimana nilai kesopanan sebahagian daripada kehidupan.

Menurutnya, nilai baik yang diamalkan sejak dahulu masih relevan untuk diterapkan kepada generasi muda ketika berhadapan cabaran dunia moden.

“Walaupun kita sudah berdepan dengan dunia moden, gaya hidup lama yang menekankan tentang kesopanan dan kesusilaan perlu terus kita terapkan untuk generasi muda dan akan datang,” katanya.

Kategorinasional

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.