SHAH ALAM, 22 SEPT: Sebanyak 25,011 notis kompaun bernilai RM15 juta dikeluarkan Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) kepada majikan yang gagal mendaftarkan perusahaan serta pekerja sepanjang pelaksanaan Op Kesan dari 2020 hingga September tahun ini.
Dalam tempoh sama, sebanyak 21,177 kes turut dibawa ke mahkamah dan didakwa atas pelbagai kesalahan mengikut undang-undang keselamatan sosial.
Timbalan Ketua Eksekutif Operasi PERKESO, Azirruan Arifin berkata selaras dengan usaha memperkukuh perlindungan sosial pekerja secara menyeluruh, PERKESO kini memperluas penguatkuasaan menerusi Op Kesan 2.0 dengan memberi tumpuan kepada sektor informal, khususnya tiga sektor yang dikategorikan sebagai mandatori.
“Langkah ini selari dengan tekad kerajaan memperkasakan jaring perlindungan sosial menerusi pelaksanaan Akta Pekerja Gig 2025 (Akta 872) dan Akta Keselamatan Sosial Pekerjaan Sendiri 2017 (Akta 789).
“Operasi besar-besaran ini digerakkan serentak membabitkan lebih 300 anggota penguat kuasa dari 54 pejabat PERKESO di seluruh negara,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Azirruan berkata, sasaran utama operasi itu ialah majikan, penyedia platform e-hailing dan p-hailing serta individu yang bekerja sendiri.
“Operasi ini dilaksanakan bagi memperkukuh pematuhan terhadap undang-undang perlindungan keselamatan sosial, termasuk dalam sektor informal yang merangkumi penyedia platform kepada pekerja gig, penjaja dan peniaga kecil yang berdaftar dengan pihak berkuasa tempatan (PBT).
“Mereka wajib mencarum di bawah Skim Keselamatan Sosial Pekerjaan Sendiri (LINDUNG Kendiri) mengikut Akta 789.
“Selaras dengan Akta 872, penyedia platform juga wajib memastikan pendaftaran dan caruman dibuat secara teratur.
“Setakat 7 September lalu, seramai 1.17 juta pekerja gig sudah berdaftar dengan PERKESO,” katanya.
Mengulas pelaksanaan Op Kesan 2.0 semalam, beliau berkata, majikan yang didapati melanggar peraturan diberi amaran dan teguran, selain dikenakan tindakan kompaun serta-merta.
“Antara lokasi utama pemeriksaan ialah Pasar Seni, Brickfields, Pudu dan Bandar Baru Ampang.
“Setakat jam 11.30 pagi semalam, sebanyak 159 lawatan pemeriksaan dijalankan di seluruh negara, membawa kepada pengeluaran 14 notis kompaun atas pelbagai kesalahan mengikut Akta 4, Akta 800 dan Akta 789,” katanya.
Katanya, secara keseluruhan, sejak Op Kesan bermula pada Julai 2026, PERKESO sudah melaksanakan 8,049 lawatan pemeriksaan dan mengeluarkan 2,162 notis kompaun.







