SHANGHAI, 21 SEPT: Lawatan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim ke Shanghai dan Hangzhou bermula Selasa bertujuan untuk memperkukuh hubungan ekonomi, memajukan rangka kerja perdagangan digital serta menekankan mengenai kepentingan pembangunan bakat teknikal.
Dalam rangka lawatan kerja tiga hari atas jemputan kerajaan China, jadual padat Perdana Menteri yang juga Menteri Kewangan akan tertumpu kepada pertemuan dua hala peringkat tinggi dengan Perdana Menteri China Li Qiang serta penyertaan dalam WorldSkills Shanghai 2026 dan Ekspo Perdagangan Digital Global Kelima di Hangzhou.
“Ini adalah lawatan Perdana Menteri yang keempat ke China (sejak menjadi Perdana Menteri pada 2022) sekali gus menunjukkan betapa akrab dan rapatnya hubungan antara Malaysia dengan China.
“Walaupun lawatan ini adalah bersifat lawatan kerja, Perdana Menteri telah diberikan penghormatan oleh Li dengan mengadakan perjumpaan dua hala antara Malaysia dengan China dan jamuan makan malam yang akan diadakan di Hangzhou,” kata Duta Besar Malaysia ke China Datuk Norman Muhamad menjelang ketibaan Perdana Menteri pada Selasa.
Beliau berkata lawatan Anwar juga bertujuan untuk memulakan kerjasama dalam bidang baharu di luar bidang tradisional, seperti pendidikan dan latihan teknikal dan vokasional (TVET), ekonomi digital dan kecerdasan buatan (AI).
Perdana Menteri juga akan menyampaikan ucaptama pada Persidangan WorldSkills 2026 dan Ekspo Perdagangan Digital Global Kelima di Hangzhou.
Anwar akan diiringi oleh Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri Datuk Seri Johari Abdul Ghani, Menteri Pengangkutan Anthony Loke dan Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail.
Perdana Menteri dijadualkan mengadakan perbincangan dengan Li di Hangzhou sekali gus memberi peluang kepada kedua-dua pemimpin untuk menilai perkembangan projek dua hala dan meneroka kerjasama strategik antara kedua-dua negara.
Norman berkata semasa pertemuan tersebut, kedua-dua pemimpin dijangka membincangkan beberapa perkara bagi memperkukuh hubungan dua hala di bawah kerangka Perkongsian Strategik Komprehensif, sejajar dengan aspirasi membina Komuniti Strategik Malaysia-China Bertaraf Tinggi dengan Masa Depan Bersama dan inisiatif Presiden Xi Jinping termasuk Inisiatif Pembangunan Global (GDI); dan Inisiatif Peradaban Global (GCI).
Norman berkata mesyuarat dua hala itu juga dijangka membincangkan projek penyambungan Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) dari Kota Bharu ke Rantau Panjang yang bakal memberi manfaat kesalinghubungan dan pembangunan ekonomi.
Turut dibincangkan adalah mengenai pelaksanaan menaik taraf projek Dua Negara Taman Berkembar susulan pemeteraian persefahaman pada 17 April 2025.
Selain itu, ia turut menyentuh mengenai lawatan Perdana Menteri ke Shenzhen bersempena Sidang Kemuncak Kerjasama Ekonomi Asia Pasifik (APEC) yang akan diadakan pada November tahun ini serta penyertaan Malaysia sebagai negara anggota pengasas Pertubuhan Kerjasama Kecerdasan Buatan Dunia (WAICO).
Semasa di Hangzhou, Anwar turut dijadualkan melancarkan buku bertajuk “Rethinking Ourselves: Justice, Reform and Ignorance in Postnormal Times" yang telah diterjemahkan dalam bahasa Cina.
Norman berkata China kekal sebagai rakan dagang terbesar Malaysia selama 17 tahun berturut-turut, dengan jumlah perdagangan dua hala mencecah US$113.82 bilion (RM456.68 bilion) bagi tempoh Januari hingga Ogos.
Anwar juga dijadualkan mengadakan pertemuan dengan peneraju industri dari China sebagai antara usaha untuk menarik pelaburan berkualiti ke Malaysia.
Sesi itu dijangka menekankan mengenai peluang pelaburan dalam bidang pusat data, AI, semikonduktor, kenderaan elektrik, tenaga boleh baharu, pembuatan berteknologi tinggi, logistik dan ekonomi digital.







