Moratorium rumah Selangor: Tiada permohonan sejak Jun

21 Sep 2026, 6:30 AM
Moratorium rumah Selangor: Tiada permohonan sejak Jun
Moratorium rumah Selangor: Tiada permohonan sejak Jun

SHAH ALAM, 21 SEPT: Tiada peminjam atau penyewa di bawah skim Kerajaan Negeri memohon bantuan moratorium yang dilaksanakan menerusi Pakej Pengukuhan Daya Tahan Selangor Fasa Dua setakat hari ini.

EXCO Perumahan Datuk Borhan Aman Shah berkata keadaan itu menunjukkan ekonomi ketika ini berada pada landasan baik memandangkan tiada pihak terkesan sehingga menjejaskan kewangan masing-masing.

“Bantuan ini sudah dimaklumkan dan dibuka sejak Jun lalu namun sehingga hari ini tiada seorang pun individu membuat permohonan. Mungkin tiada yang terkesan dengan konflik global.

“Bantuan ini sebagai alternatif negeri membantu penduduk terkesan. Pentadbiran akan berusaha memastikan penyewa atau peminjam tidak terbeban dan dapat hidup dengan sejahtera,” katanya kepada Media Selangor.

EXCO Perumahan Datuk Borhan Aman Shah berucap sempena majlis Penyerahan Inisiatif Pemerkasaan Komuniti Strata Negeri Selangor Tahun 2026 di Wyndham Acmar, Klang pada 17 September 2026. Foto REMY ARIFIN/MEDIA SELANGOR

Ketika membentang pakej berkenaan pada Jun lalu, Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari berkata lebih 3,000 penyewa dan peminjam rumah bawah skim Kerajaan Selangor bakal menikmati moratorium untuk Oktober hingga Disember.

Menurutnya, moratorium sewaan itu akan diselaraskan Lembaga Perumahan dan Hartanah Selangor (LPHS) berdasarkan permohonan penyewa dengan peruntukan sebanyak RM2.22 juta.

Katanya, kadar sewa bulanan bawah Program Smart Sewa Selangor ketika ini adalah antara RM450 hingga RM1,300 dan akan dikekalkan tanpa sebarang kenaikan.

Selain itu, Kerajaan Negeri turut menawarkan moratorium pembayaran balik pinjaman perumahan kepada penjawat awam negeri bagi tempoh tiga bulan bermula Oktober hingga Disember dengan peruntukan RM2.54 juta.

Kategoriexco

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.