Detoks usus mitos, pakar bimbang barah usia muda meningkat

25 Feb 2026, 11:00 AM
Detoks usus mitos, pakar bimbang barah usia muda meningkat
Detoks usus mitos, pakar bimbang barah usia muda meningkat

Pada masa kini, amalan detoks atau pembersihan usus sering dipromosikan sebagai jalan pintas untuk mendapatkan tubuh lebih sihat.

Minuman khas, suplemen dan pelbagai kaedah pembersihan dalaman didakwa mampu menyingkirkan toksin serta membersihkan sistem penghadaman.

Namun persoalannya, adakah usus manusia benar-benar memerlukan proses detoks?

Menurut Naib Presiden Penyelidikan Management and Science University (MSU), Prof. Dr. Norfilza Mohd Mokhtar, dakwaan tersebut hanyalah mitos dan tidak disokong bukti saintifik.

“Usus kita sejak azali tidak perlu dibersihkan. Tiada kajian saintifik yang mengatakan detoks itu sangat bagus untuk kesihatan usus,” katanya ketika ditemu bual dalam program Bicara Semasa terbitan Media Selangor baru-baru ini.

Beliau menjelaskan sistem gastrousus manusia sememangnya direka untuk berfungsi secara semula jadi tanpa memerlukan campur tangan pembersihan tambahan.

Malah, dalam keadaan normal usus mengandungi keseimbangan bakteria baik dan bakteria tidak baik yang hidup secara harmoni.

Keseimbangan ini penting kerana bakteria dalam usus memainkan peranan dalam proses penghadaman serta menyokong sistem imun badan.

“Usus memerlukan bakteria baik dan jahat untuk berfungsi secara seimbang. Jika kita ganggu keseimbangan ini, ia boleh memberi kesan kepada kesihatan,” jelasnya.

Menurut beliau, kebanyakan kaedah detoks yang diamalkan masyarakat sebenarnya hanya mencetuskan masalah cirit-birit, bukannya meningkatkan tahap kesihatan usus.

“Apabila kita detoks, sebenarnya kita hanya menyebabkan cirit-birit. Rasa lega itu bukan bermaksud usus menjadi lebih sihat, tetapi kerana ia telah dikosongkan,” katanya.

Tambah beliau, tiada keperluan untuk membersihkan usus secara berkala. Sebaliknya, pendekatan lebih praktikal dan berkesan adalah dengan mengamalkan pemakanan seimbang, meningkatkan pengambilan serat, minum air mencukupi serta mengekalkan gaya hidup aktif.

Barah usus pada usia muda

Dalam masa sama, Prof. Dr. Norfilza menyuarakan kebimbangan terhadap peningkatan kes barah usus dalam kalangan individu bawah 50 tahun.

Menurutnya, penyakit yang sebelum ini lazimnya dikaitkan dengan golongan berusia kini semakin kerap dikesan dalam kalangan usia muda.

Beliau berkata corak pemakanan moden, khususnya pengambilan gula berlebihan, perlu diberi perhatian serius.

“Mengikut kajian, secara purata golongan muda mengambil 1.6 kali ganda lebih banyak gula daripada kadar disyorkan,” katanya.

Tambah beliau, lambakan minuman manis yang mudah diperoleh pada harga murah menyumbang kepada peningkatan pengambilan gula dalam masyarakat.

Katanya, pengambilan gula berlebihan bukan sahaja meningkatkan risiko obesiti dan diabetes, malah menjejaskan kesihatan keseluruhan termasuk sistem penghadaman.

Situasi itu membimbangkan memandangkan Malaysia berdepan kadar penyakit tidak berjangkit yang tinggi dalam kalangan rakyat usia muda.

Sehubungan itu, beliau menasihatkan orang ramai supaya lebih berdisiplin dalam pemakanan harian dan mengurangkan pengambilan gula bagi melindungi kesihatan usus serta kesejahteraan menyeluruh.