Tangan yang Menganyam Senja

20 Sep 2026, 12:30 AM
Tangan yang Menganyam Senja

Oleh Diviya Devaraj

Ilustrasi Muizzah

Di celah jemari yang direkah usia,

benang-benang petang masih dipujuk menjadi cahaya;

setiap simpulan adalah doa yang enggan tanggal

daripada nadi yang tidak pernah lupa asal.

Sejarah tidak pernah rebah dengan bunyi.

Ia luruh perlahan

di hujung kuku seorang tua

tekun menganyam sisa-sisa harinya

menjadi tikar kenangan.

Anak-anak mewarisi kota bercermin langit,

tetapi tidak lagi fasih

membaca bahasa rotan, benang dan kayu.

Jemari itu belajar berdamai dengan sunyi,

seperti sungai yang tidak lagi mengenal muara.

Sesekali angin menyelongkar bengkel usang,

mengangkat bau damar, buluh dan serbuk kayu;

seakan-akan waktu masih duduk bersila,

menunggu seseorang

yang tidak pernah benar-benar pulang.

Senja tidak selalu tiba bersama matahari tenggelam.

Kadang-kadang ia hadir

pada payah menggenggam harapan,

tatkala dunia lebih percaya kepada bunyi mesin

daripada tangan manusia.

Apabila tangan itu terkulai,

bukan sekadar seorang tukang yang pergi.

Bersama hela nafas akhirnya,

terlipat helaian warisan

yang tidak sempat diajarkan kepada waktu.

Kategoriseni budaya

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.