Jabatan Penjara bakal keluar SOP tahanan rumah Najib

19 Sep 2026, 7:29 AM
Jabatan Penjara bakal keluar SOP tahanan rumah Najib

SHAH ALAM, 19 SEPT: Jabatan Penjara dijangka mengeluarkan prosedur operasi standard (SOP) dalam masa terdekat bagi pelaksanaan tahanan rumah Datuk Seri Najib Razak.

Peguam Negara Tan Sri Mohd Dusuki Mokhtar berkata SOP berkenaan akan memperincikan beberapa perkara termasuk aspek lawatan, kawalan serta pemantauan pergerakan bekas perdana menteri itu.

“Saya difahamkan akan ada SOP yang dikeluarkan bagi tujuan tahanan rumah,” katanya hari ini, lapor Astro AWANI.

Mohd Dusuki berkata Najib bagaimanapun perlu menjelaskan denda RM50 juta di Pejabat Pendaftar Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur terlebih dahulu sebelum proses tahanan rumah boleh diteruskan.

Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim semalam berkenan memberi pengampunan bersyarat kepada Najib untuk menjalani baki hukuman secara tahanan di rumah hingga 23 Ogos 2028 sekiranya beliau membayar denda RM50 juta.

Keputusan berkenaan dibuat dalam Mesyuarat Lembaga Pengampunan Wilayah Persekutuan yang dipengerusikan Seri Paduka Baginda, semalam.

Najib, 73, sedang menjalani hukuman penjara di Penjara Kajang sejak 23 Ogos 2022 berhubung sabitan penyelewengan dana SRC International Sdn Bhd, manakala kes berkaitan 1Malaysia Development Berhad (1MDB) masih dalam proses perbicaraan dan rayuan.

Pada 11 September lalu, media melaporkan Lembaga Pengampunan Wilayah Persekutuan bermesyuarat bagi mempertimbangkan antara lain permohonan Najib mendapatkan pengampunan berhubung sabitan kes SRC International, namun permohonan itu kemudian ditangguhkan ke mesyuarat akan datang.

Pada Julai 2020, Najib disabitkan atas kesalahan menyeleweng RM42 juta dana SRC International serta didenda RM210 juta dan dijatuhi hukuman penjara 12 tahun. Hukuman berkenaan dikekalkan Mahkamah Persekutuan pada Ogos 2022.

Pada 2 Februari 2024, hukuman penjara Najib dikurangkan 50 peratus daripada 12 tahun kepada enam tahun manakala denda dikurangkan daripada RM210 juta kepada RM50 juta.

Lembaga Pengampunan Wilayah Persekutuan dipengerusikan Yang di-Pertuan Agong serta dianggotai Peguam Negara, menteri yang bertanggungjawab terhadap Wilayah Persekutuan dan tiga anggota lain yang dilantik Seri Paduka Baginda.

Kategorinasional

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.