ad

Elak didenda Mykad hilang, lelaki buat laporan palsu dakwa disamun

8 Okt 2025, 8:22 AM
Elak didenda Mykad hilang, lelaki buat laporan palsu dakwa disamun

SHAH ALAM, 8 OKT: Seorang lelaki disiasat kerana membuat laporan polis palsu mendakwa disamun yang disyaki bertujuan untuk mengelakkan denda Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) bagi penggantian MyKad baharu.

Ketua Polis Daerah Kuala Selangor Supt Azaharudin Tajudin berkata suspek berusia 23 tahun itu membuat laporan 5.03 petang semalam, antara lain mendakwa barang yang disamun ialah wang tunai, kad pengenalan, kad bank dan telefon bimbit jenis Iphone 13.

"Dalam laporan itu, suspek memaklumkan disamun dua lelaki menaiki motosikal di Jalan Pantai Remis, Jeram, Kuala Selangor. Namun, siasatan mendapati kejadian itu tidak berlaku dan laporan berkenaan dibuat dipercayai untuk mengelak membayar denda kepada JPN," katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Azaharudin berkata siasatan turut mendapati barangan lain iaitu kad bank, lesen memandu dan juga telefon bimbit jenis sama yang dilaporkan hilang masih ada di dalam simpanan lelaki berkenaan.

Beliau berkata kes disiasat di bawah Seksyen 182 Kanun Keseksaan dan orang ramai diingatkan agar tidak membuat laporan palsu atau bakal berdepan tindakan undang-undang.