SHAH ALAM, 18 SEPT: Seramai 12,575 pesakit berada dalam senarai menunggu bagi proses transplantasi organ, dengan buah pinggang merekodkan permintaan organ tertinggi, setakat Julai lalu.
Menurut kenyataan Pusat Transplan Kebangsaan (NTC), seramai 12,228 individu dewasa dan 307 kanak-kanak menunggu untuk transplantasi buah pinggang diikuti hati (16 orang); jantung (14 orang); peparu (3 orang) serta jantung dan peparu (7 orang), lapor Harian Metro.
"Bagi buah pinggang, dianggarkan masa menunggu adalah antara lima hingga 23 tahun berdasarkan data daripada National Renal Registry.
"Sementara itu, hati pula mengambil masa dua bulan hingga dua tahun untuk tempoh menunggu berdasarkan data daripada Jabatan Hepatologi dan Gastroenterologi Hospital Selayang.
"Bagi jantung dan peparu pula mengambil masa antara empat bulan hingga 3.8 tahun berdasarkan data daripada Institut Jantung Negara (IJN)," katanya.
Menurut NTC, sebanyak 235 organ diterima daripada penderma bagi tempoh sehingga Julai lalu merangkumi buah pinggang, hati, jantung, peparu, kornea mata, tulang, injap jantung serta kulit.
Daripada jumlah itu, katanya, jumlah organ paling tinggi diterima adalah kornea mata (126), diikuti buah pinggang (58), tulang (24), hati (14), injap jantung (10) serta masing-masing satu kes bagi jantung, peparu dan kulit.
"Selain itu, seramai 436,542 orang berikrar untuk menderma organ mereka sehingga Julai lalu," katanya.
NTC menjelaskan, pendermaan organ boleh dibahagikan kepada dua kategori utama iaitu pendermaan selepas kematian dan pendermaan semasa hidup, bergantung kepada keadaan dan kesihatan penderma.
Menurutnya, pendermaan semasa hidup hanya boleh dilakukan selepas penderma melalui penilaian perubatan yang menyeluruh bagi memastikan pendermaan itu selamat untuk penderma dan sesuai untuk penerima.
Malah, katanya, setiap pendermaan juga akan dinilai secara teliti oleh pasukan perubatan berdasarkan keadaan dan fungsi organ, sejarah kesihatan penderma serta kesesuaian dengan bakal penerima.
"Hanya organ dan tisu yang didapati sesuai dan berada dalam keadaan baik akan diperoleh untuk tujuan transplantasi.
"Pendermaan organ memberi peluang kepada pesakit yang mengalami kegagalan organ peringkat akhir untuk mendapat rawatan yang boleh menyelamatkan nyawa," katanya.







