SHAH ALAM, 24 JUN: Bekas pensyarah Universiti Teknologi MARA (UiTM), Normah Sabar, 72, terus menabur jasa meskipun selepas pemergiannya apabila organ dan tisu yang didermakan dijangka menyelamatkan serta mengubah kehidupan sekurang-kurangnya lima pesakit.
Hospital Sungai Buloh memaklumkan hasrat Allahyarhamah yang berikrar sebagai penderma organ ditunaikan oleh anak-anaknya selepas beliau disahkan mengalami kematian otak.
Proses pendermaan organ dan tisu itu berjaya dilaksanakan pada 21 Jun lalu, sekali gus memberi peluang baharu kepada pesakit yang sedang menunggu pemindahan organ untuk meneruskan kehidupan.
“Di masa hidupnya mendidik anak bangsa, di akhir nafasnya tetap menabur jasa.
“Melalui anugerah kehidupan ini, organ dan tisu yang didermakan bakal menyelamatkan dan mengubah hidup sekurang-kurangnya lima orang pesakit,” katanya menerusi hantaran di Facebook.
Sebagai penghormatan terakhir, kakitangan Hospital Sungai Buloh berbaris di sepanjang koridor dalam acara “Walk of Honour” bagi memberi penghormatan kepada Allahyarhamah sebelum proses pendermaan organ dijalankan.

Allahyarhamah bukan sahaja dikenali sebagai bekas pensyarah UiTM, malah mencipta sejarah sebagai wanita pertama Malaysia yang bergelar juruukur profesional.
Dalam perkembangan sama, Hospital Sungai Buloh memaklumkan kes pemerolehan organ tersebut turut melakar sejarah baharu dalam kerjasama antara Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT).
“Kami amat berbesar hati dapat berganding bahu bersama Pasukan Pembedahan Hepatobiliari dari Universiti Malaya (UM) yang turun padang demi menjayakan usaha murni ini,” katanya.
Hospital Sungai Buloh turut merakamkan penghargaan kepada keluarga Allahyarhamah atas kesediaan mereka menunaikan amanah tersebut walaupun berdepan saat kehilangan insan tersayang.
“Kepada seluruh ahli keluarga penderma, jutaan terima kasih atas kurniaan yang tidak ternilai ini.
Semoga segala budi, jasa, dan pengorbanan arwah diangkat darjatnya di sisi pencipta.
"Beliau telah memberi sinar baharu ketika di jemput kembali ke rahmatullah. Semoga arwah ditempatkan dalam kalangan orang-orang yang beriman dan bersemadi dengan tenang di sana," katanya.
Sementara itu, Jabatan Ukur dan Pemetaan Malaysia (JUPEM) menerusi hantaran berasingan menzahirkan ucapan takziah atas pemergian Allahyarhamah yang disifatkan sebagai juruukur wanita pertama negara.








