PUTRAJAYA, 17 SEPT: MyKad generasi baharu kekal sebagai dokumen pengenalan diri rasmi rakyat Malaysia dan boleh terus digunakan bagi urusan bantuan serta subsidi kerajaan, menurut Jabatan Pendaftaran Negara (JPN).
Pengarah Bahagian Kad Pengenalan JPN Muhammad Asraf Sukadi berkata MyKad boleh digunakan bagi bantuan atau subsidi kerajaan yang menjadikan kad berkenaan sebagai medium pengesahan atau penebusan, tertakluk kepada syarat kelayakan ditetapkan agensi berkaitan.
“Orang ramai tidak perlu bimbang bahawa pengenalan MyKad generasi baharu akan menyebabkan bantuan atau subsidi kerajaan terhenti.
“JPN sentiasa bekerjasama dengan kementerian dan agensi berkaitan bagi memastikan kesinambungan perkhidmatan serta bantuan kepada rakyat yang layak,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata pertukaran kepada MyKad generasi baharu tidak menyebabkan baki atau kelayakan Sumbangan Asas Rahmah (SARA) hilang.
“Baki dan kelayakan SARA tidak disimpan di dalam MyKad sebaliknya direkodkan dalam sistem SARA. MyKad digunakan sebagai medium pengesahan penerima dan untuk membuat pembelian barangan keperluan asas di kedai atau pasar raya yang mengambil bahagian,” katanya.
Muhammad Asraf berkata pemegang MyKad sedia ada tidak perlu menukar MyKad semata-mata melainkan MyKad rosak.
Bagaimanapun, pemegang Kad Pengenalan Plastik (KPP), Kad Pengenalan Bermutu Tinggi (KPT) dan MyKad (tanpa ghost image) perlu menukar kepada MyKad generasi baharu.
“Pelaksanaan MyKad generasi baharu telah mengambil kira keperluan sistem dan perkhidmatan yang menggunakan MyKad.
"Penyesuaian akan dibuat secara berperingkat bersama pihak berkaitan bagi memastikan urusan rakyat terus berjalan lancar,” katanya.
Bermula hari ini, urusan pengeluaran MyKad generasi baharu boleh dibuat di 40 cawangan JPN yang dilengkapi pusat cetakan untuk mencetak MyKad dengan tempoh siap pada hari sama.
Bagi cawangan JPN yang tidak mempunyai kemudahan cetakan, permohonan MyKad generasi baharu masih boleh dibuat dengan tempoh siap lima hari bekerja.
MyKad generasi baharu itu dilengkapi keselamatan merangkumi Hologram Keselamatan Dinamik dan Transparent Windowdi bahagian hadapan, hingga Kod QR Penguatkuasaan serta Cip Antara Muka Dwi Fungsi di bahagian belakang.







