Lagu perpaduan ‘Macha’ Zubir bawa tuah

16 Sep 2026, 2:00 PM
Lagu perpaduan ‘Macha’ Zubir bawa tuah
Lagu perpaduan ‘Macha’ Zubir bawa tuah
Lagu perpaduan ‘Macha’ Zubir bawa tuah

Sebut sahaja nama Zubir Khan, rata-rata peminat pasti akan mengaitkan dirinya dengan kemerduan bait lagu Tamil yang didendangkan oleh pemuda berusia 26 tahun ini.

‘Macha macha nee ennoda macha’, itu antara barisan lirik yang kerap menjadi siulan anak muda sekitar tahun 2023, ketika lagu itu mula tular.

Penyanyi dan komposer kelahiran Sepang, Selangor itu tidak pernah menyangka keputusan untuk menyanyi dalam bahasa Tamil membawa tuah besar dalam perjalanan seninya.

Sejak kecil dia mula minat menyanyi, cuma ketika menganjak dewasa dan mahu bergiat serius dalam bidang muzik, dia mahu mencipta kelainan.

Anak kacukan Melayu - Pakistan itu mula mahir berbahasa Tamil ketika bersekolah rendah di kawasan rumahnya, Ladang Sepang Valley, tempatnya membesar dan mempunyai ramai rakan baik India.

“Sejak kecil saya sudah biasa mendengar mereka bercakap bahasa Tamil. Saya pula mula bercakap bahasa itu sekitar darjah empat, walaupun ketika itu tidaklah fasih sangat.

“Bila kita membesar dalam suasana begitu, secara tidak langsung kita belajar bahasa dan budaya mereka. Sebab itu apabila seorang kawan mencadangkan supaya saya cuba menyanyi lagu Tamil, saya fikir, apa salahnya mencuba,” katanya kepada Media Selangor.

Zubir Khan dengan kedua orang tuanya. Foto Instagram Zubir Khan

Pada awal pembabitannya, penguasaan bahasa berkenaan masih belum sempurna. Namun rakan-rakan India banyak membantu membetulkan sebutan serta menerangkan maksud perkataan yang digunakan dalam lagunya.

Daripada situ, lahirlah beberapa karya yang mendapat perhatian besar termasuk Perianda Sulit, selain lagu Yennode Macha dan Oh My Khadhale yang turut melonjakkan namanya dalam kalangan peminat muzik tempatan.

Kini, pemilik nama penuh Muhammad Zubir Mohamad Ali sudah menghasilkan kira-kira 14 'single' dan beberapa karya berkenaan mencatat jutaan tontonan di platform digital.

“Ramai orang kenal saya sebagai ‘Macha’. Jadi, mungkin Yennode Macha itu sudah menjadi lagu ikonik untuk saya.

“Saya bersyukur sebab apabila saya menyanyi lagu Tamil, bukan saja masyarakat India yang menerima, tetapi peminat Melayu sendiri pun minta saya teruskan menyanyi dalam bahasa Tamil. Bagi saya, itu rezeki yang sangat besar."

Muzik jambatan perpaduan

Di sebalik populariti lagu dibawanya, Zubir menegaskan muzik juga boleh menjadi jambatan mendekatkan masyarakat berbeza kaum.

Pengalaman mempunyai ramai rakan Melayu dan India sejak kecil membuatkan dia memahami pergaulan yang baik mampu memecahkan tembok perbezaan kaum.

“Bagi saya, perpaduan bukan semata-mata tentang bahasa. Ia lebih kepada bagaimana kita bergaul, melayan dan menghormati orang lain.

“Apabila kita boleh bercakap dalam bahasa mereka, hubungan itu menjadi lebih rapat. Kita lebih mudah memahami budaya dan cara hidup mereka.

“Saya sendiri pernah ikut kawan-kawan India melihat budaya mereka. Mereka juga pernah bertanya mengenai budaya Melayu dan saya terangkan kepada mereka,” katanya.

Zubir berkata, tanggapan masyarakat berlainan kaum sukar untuk hidup bersama sebenarnya tidak semestinya benar kerana semuanya bergantung kepada cara seseorang membina hubungan dengan orang di sekeliling.

“Kadang-kadang ada orang Melayu fikir orang India bersikap perkauman, begitu juga ada orang India fikir orang Melayu begitu. Tetapi sebenarnya tidak.

“Semuanya bergantung kepada pergaulan kita. Kalau kita saling menghormati dan mahu mengenali satu sama lain, perbezaan itu tidak menjadi penghalang,” katanya.

Pengalaman itu juga membuatkan Zubir berasa bertanggungjawab untuk terus membawa mesej keharmonian melalui muziknya, lebih-lebih lagi selepas pernah menerima pengiktirafan berkaitan perpaduan.

Baginya, muzik mempunyai kuasa tersendiri untuk menyatukan hati manusia tanpa mengira latar belakang.

“Saya bersyukur apabila orang melihat saya sebagai antara individu yang boleh menyatukan rakyat melalui muzik”.

Selepas hampir sedekad bergerak dalam industri muzik, Zubir juga tidak mahu melupakan akar perjalanan yang membawanya ke tahap sekarang.

“Kalau saya tinggalkan lagu Tamil selepas sudah popular, saya tidak mahu orang fikir saya buat semua ini hanya untuk naik.

“Ini adalah benda yang membawa saya sampai ke tahap sekarang. Orang selalu pesan, jangan lupa dari mana kita datang.

“Sebab itu saya akan terus menyanyi lagu Tamil,” katanya.

Zubir Khan dan isteri ketika hari perkahwinan mereka. Foto Instagram Zubir Khan

Dalam perkembangan terbaharu, Zubir yang baru mendirikan rumah tangga pada 31 Julai lalu turut menghadiahkan sebuah lagu khas buat isterinya yang dilancarkan sehari selepas majlis persandingan mereka pada 1 Ogos.

Dia turut merancang memperkenalkan lagu Melayu baharu pada tahun ini, selain tidak menolak untuk kembali menghasilkan karya campuran bahasa Tamil dan Melayu yang menjadi identitinya.

“Insya-Allah, tahun ini ada lagi lagu Melayu. Akan ada juga lagu campuran selepas ini. Saya tahu ada peminat yang rindu lagu begitu.

“Untuk saya, selagi ada peluang, saya mahu terus mencuba,” kata suami Dr Heama Maleini itu.

Mengenai impian terbesar, Zubir menyimpan hasrat untuk membawa nama Malaysia lebih jauh dalam industri muzik antarabangsa.

Idolanya penyanyi dan komposer terkenal India, Anirudh Ravichander, yang menjadi dorongan untuknya serius dalam muzik Tamil.

“Dulu saya banyak menyanyi lagu Anirudh ketika membuat persembahan di majlis perkahwinan dan orang selalu kata suara saya ada persamaan dengan dia.

“Dia memang antara penyanyi yang saya idolakan dan saya berharap suatu hari nanti dapat bekerjasama dengannya,” ceritanya ceria.

Zubir turut menasihatkan golongan muda tidak takut mencuba jika mempunyai bakat terpendam.

“Kalau kita tahu bahasa lain, ada bakat lain atau boleh buat sesuatu yang orang lain tidak boleh buat, jangan rasa malu atau rendah diri.

“Tunjukkan saja. Saya sendiri ada kekurangan, tetapi kalau saya biarkan kekurangan itu menghalang saya, mungkin saya tidak akan berada di sini hari ini.

“Beranikan diri mencuba kerana kita tidak tahu percubaan yang mana satu akan mengubah hidup kita,” katanya.

Foto Instagram Zubir Khan

PENCAPAIAN:

2024: Anugerah Muhibbah anjuran Kelab Akhbar Kebangsaan Malaysia (NPC) dengan kerjasama MACROKIOSK (2024) atas sumbangannya mempromosi perpaduan melalui muzik

2025: Anugerah Ikon Perpaduan pada Majlis Apresiasi Harmoni Kementerian Perpaduan Negara

2025: Yennode Macha diumum sebagai Lagu Tamil Persembahan Tertinggi di Anugerah MACP (Badan Perlindungan Hak Cipta Muzik Berhad)

Kategorirencana

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.