KUALA LUMPUR, 16 SEPT: Hasrat Selangor untuk menjadi negeri pintar memerlukan ekosistem menyeluruh, bukan semata-mata bergantung kepada kecanggihan teknologi sebaliknya meliputi pelbagai aspek lain.
Rata-rata pembentang menyatakan perkara itu merangkumi kecerdasan buatan (AI), pengurusan data, infrastruktur digital, pembiayaan mampan serta kerjasama kerajaan dan industri.
Menurut timbalan pengarah Bahagian Penyelidikan dan Pembangunan PLANMalaysia, ia bukan hanya penggunaan aplikasi AI, sebaliknya memerlukan data yang saling berhubung, proses kerja bersesuaian dan tadbir urus berkesan.
Dr Muhammad Hakimi menekankan pelaksanaan AI perlu bermula dengan mengenal pasti isu sebenar sesebuah bandar, bukannya memilih teknologi kemudian melaksanakannya dan memperluaskannya.

“Bandar pintar memerlukan perancangan yang lebih cerdas, dengan kebijaksanaan manusia kekal menjadi teras dalam membuat keputusan,” katanya lagi.
Beliau berkata demikian dalam Seminar Bandar Pintar 2026 ‘AI Memenuhi Perancangan Bandar 2.0’ di Pusat Konvensyen Kelab Golf Kuala Lumpur (KLGCC) di sini semalam.
Enam pembentang membincangkan keperluan bagi memperkukuh asas bandar pintar demi memastikan teknologi memberi impak kepada perancangan dan pengurusan bandar dalam seminar berkenaan.
Ketua pegawai komersial ITMAX System Berhad pula berkata pembangunan bandar pintar perlu bermula dari perancangan ekoran AI memerlukan data dan infrastruktur lain termasuk bekalan elektrik.

“AI memerlukan data, data memerlukan sensor manakala sensor memerlukan tiang dan bekalan elektrik. Tiang pula memerlukan tanah, permit dan pembiayaan. Ini isu perancangan sebelum menjadi isu teknologi,” kata Michael Fun.
Beliau juga mengesyor infrastruktur digital dimuatkan dalam rancangan tempatan dan kebenaran merancang selain mewujudkan set piawaian peringkat negeri untuk diguna pakai semua pihak berkaitan.
Sementara itu, ahli strategi pemerkasaan kejayaan Esri Malaysia berkata, beliau mengetengah GeoAI yang menggabungkan data geospatial dengan AI bagi mengautomasi pemetaan dan pengecaman corak.
Ramlan Salim juga memberitahu GeoAi juga menyokong ramalan, pemantauan serta analisis senario sekali gus berupaya untuk meningkatkan ketepatan dan kecekapan perancangan bandar.

“Pelaksanaan bandar pintar membolehkan bandar dipantau dan disimulasi secara digital termasuk menilai guna tanah serta impak pembangunan, meramal risiko banjir dan membantu pengurusan trafik serta tindak balas kecemasan,” katanya.
Pengarah Kumpulan Strategi dan Pertumbuhan Synergia Asia, Datuk Nuraslina Zainal Abidin pula berkata pembiayaan bandar pintar perlu dilihat menyeluruh, bukan hanya kos pemasangan awal.
Beliau juga menjelaskan kos sepanjang hayat perlu diambil kira termasuk perbelanjaan operasi, penyelenggaraan dan naik taraf teknologi.








