Baru-baru ini timbul perdebatan awam berhubung polisi seni dan budaya yang digariskan oleh Universiti Teknologi Malaysia (UTM).
Pekeliling yang dikeluarkan universiti tersebut menggariskan syarat ketat terhadap aktiviti seni di kampus, termasuk larangan persembahan campuran jantina, ketetapan berpakaian tertentu bagi wanita, serta garis panduan muzik yang disifatkan sebagai 'lembut dan berirama Melayu'.
Walaupun dasar ini dikatakan bertujuan memelihara nilai moral dan keharmonian institusi, ia mencetuskan persepsi pendekatan tersebut bersifat eksklusif, sempit dan berpotensi mengekang kebebasan ekspresi pelajar serta penggiat seni.
Beberapa laporan media memetik pandangan bahawa kebebasan akademik dan ekspresi seni merupakan elemen asas pendidikan tinggi moden.
Dr Sharifah Munirah Alatas, antaranya, menegaskan fokus universiti seharusnya tertumpu kepada pengukuhan akademik dan pembangunan pelajar secara holistik, bukannya membebankan mereka dengan peraturan moral dan budaya yang berlebihan.
Kritikan beliau turut menyentuh larangan persembahan campuran jantina dan potensi sekatan tidak formal terhadap pelajar bukan Melayu, yang boleh mengekang kreativiti dan kepelbagaian ekspresi budaya.
UTM, dalam responsnya, menegaskan polisi tersebut bukan bertujuan menafikan hak pelajar atau mengasingkan mana-mana komuniti, sebaliknya untuk menyelaraskan aktiviti seni dengan nilai institusi serta norma sosial dan budaya Malaysia.
Namun begitu, hujah balas ini turut menimbulkan persoalan apabila istilah dan garis panduan yang digunakan dianggap kabur, khususnya frasa seperti 'budaya asing', yang membuka ruang kepada salah tafsir dan pelaksanaan yang tidak konsisten.

Hegemoni sistem
Kritikan terhadap dasar ini tidak boleh dilihat secara terpisah. Ia mencerminkan satu pola yang lebih besar — budaya institusi yang masih cenderung bersifat rigid dan tertutup, bukan sahaja dalam hal aktiviti seni dan budaya, malah dalam wacana intelektual itu sendiri.
Pengalaman peribadi penulis menunjukkan bagaimana pensyarah yang memiliki kepakaran enggan memberi pandangan terhadap isu rakyat kerana bimbang akan tindakan pihak universiti sekiranya pandangan tersebut dianggap tidak selari dengan pendirian penguasa.
Hegemoni institusi seperti ini, jika dibiarkan, akan terus membentuk budaya takut dan kepatuhan membuta tuli. Namun, bagi mereka yang memahami naratif ini, wujud keyakinan bahawa idea yang baik dan benar tetap akan muncul dan mendapat tempat pada waktunya.
Universiti seharusnya berfungsi sebagai institusi pendidikan tinggi yang membuka ruang wacana, bukannya sekadar bertindak sebagai penjaga moral. Ia perlu menjadi medan eksperimen intelektual dan budaya, iaitu pelajar dan penggiat seni bebas meneroka identiti serta kreativiti mereka dalam kerangka undang-undang dan norma sosial yang munasabah.
Memberi pendedahan sewajarnya kepada mahasiswa tidak bermakna menutup ruang kebebasan, sebaliknya memerlukan keseimbangan yang matang antara nilai dan keterbukaan.
Larangan dan syarat yang terlalu ketat bukan sahaja berisiko menghakis daya inovasi dan kreativiti, malah boleh menjejaskan daya saing serta reputasi universiti di peringkat global. Ironinya, usaha memelihara identiti budaya tidak akan berjaya tanpa elemen keterbukaan itu sendiri.
Dalam masa yang sama, kritikan Dr Sharifah juga wajar disemak. Persoalan budaya tidak seharusnya terhenti pada isu meraikan kepelbagaian dan gender semata-mata.
Malah beliau tidak pula menyentuh isu paling penting bagi institusi yang sepatutynya boleh membawa wacana yang lebih besar — iaitu memperkukuh integriti pusat pengajian tinggi dalam konteks autonomi universiti.
Autonomi universiti
Isu autonomi universiti merujuk kepada kebebasan institusi pengajian tinggi untuk mengurus dan menentukan hala tuju akademik, pentadbiran serta kewangannya tanpa campur tangan langsung pihak luar, khususnya kuasa politik.
Autonomi ini merangkumi pelantikan kepimpinan, kebebasan akademik pensyarah, kebebasan bersuara dan berpersatuan pelajar, penentuan kurikulum, serta pengurusan sumber kewangan.
Hanya melalui autonomi inilah budaya kerja dan budaya intelektual yang sihat dapat berkembang di universiti. Ia bukan soal meraikan kaum A atau kaum B atau gender A atau gender B dan C, tetapi soal membina ekosistem ilmu yang matang dan berdaya tahan.
Wacana mengenai autonomi dalam konteks budaya juga belum pernah dibincangkan. Sedangkan, ia amat penting berbanding mengkritik isu yang tidak ada penghujungnya.
Autonomi juga tidak bermaksud universiti bebas sepenuhnya tanpa akauntabiliti; sebaliknya, ia menuntut keseimbangan antara kebebasan dan tanggungjawab, berteraskan tadbir urus baik, ketelusan dan kepentingan awam.
Pengalaman global menunjukkan universiti yang menikmati tahap autonomi lebih tinggi, cenderung mencatat prestasi lebih baik dalam penyelidikan, inovasi dan daya saing antarabangsa.
Masalah utama hari ini ialah budaya fikir yang stereotaip — baik dalam kalangan pengkritik mahupun mereka yang mempertahankan dasar yang sukar dipertahankan. Memahami persoalan budaya, jika boleh diibaratkan, adalah seperti memahami teori relativiti Albert Einstein pada awal abad ke-20.
Teori tersebut mengubah kefahaman manusia betapa ruang dan masa bukanlah bersifat mutlak, tetapi dipengaruhi pelbagai faktor dan hubungan.
Begitu juga dengan budaya. Ia tidak rigid, tidak mutlak dan sentiasa berkembang mengikut keperluan zaman. Perubahan tidak boleh dihalang, sebaliknya ia boleh diurus dengan kebijaksanaan.
Kesimpulannya, isu ini melangkaui kontroversi polisi kampus semata-mata. Ia mencerminkan cabaran lebih besar dalam konteks Malaysia — bagaimana institusi awam mengimbangi disiplin institusi, nilai budaya dan kebebasan ekspresi dalam ekosistem pendidikan tinggi yang semakin kompleks.
*Darma Sari merupakan seorang pengamat seni dan budaya tanah air


