SHAH ALAM, 15 SEPT: Kes kebakaran hutan, belukar dan lalang di seluruh negara melonjak tahun ini apabila 20,927 kes direkodkan setakat Ogos, hampir menyamai jumlah keseluruhan bagi 2024 dan 2025, menurut Ketua Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM).
Datuk Seri Nor Hisham Mohammad berkata peningkatan mendadak itu dipengaruhi cuaca kering berterusan selain aktiviti pembakaran terbuka, termasuk di tapak pelupusan sampah dan kawasan belukar.

“Pada 2025, kita merekodkan 8,147 kes manakala 14,821 kes pada 2024. Kini, secara purata terdapat 87 kes kebakaran seperti ini setiap hari.
“Jumlah insiden tahun ini masih berada pada tahap yang sangat tinggi,” katanya seperti dilaporkan The Star hari ini.
Menurutnya, sebanyak 183 lokasi dikenal pasti sebagai kawasan panas (hotspot) pembakaran terbuka, dengan 63 daripadanya berisiko berkembang menjadi kebakaran berskala besar membabitkan kawasan melebihi 25 hektar setiap satu.
Nor Hisham berkata operasi pembenihan awan mampu membantu usaha pemadaman, namun kaedah itu tidak menjamin hujan turun tepat di kawasan terjejas, selain kurang berkesan untuk kebakaran di tanah gambut.
“Pembenihan awan bukan pengganti kepada operasi di darat, walaupun hasil positif telah direkodkan di Bakun dan Murum, Sarawak,” katanya.
Dalam pada itu, beliau berkata kebakaran hutan, belukar dan tanah gambut memerlukan operasi berbeza berbanding pemadaman kebakaran konvensional, termasuk tempoh operasi lebih panjang serta pemantauan kesihatan anggota.
Sebagai contoh, katanya, operasi pemadaman kebakaran hutan di Pengerang, Johor baru-baru ini berdepan cuaca panas, angin kencang, tanah lembut, laluan sempit dan bekalan air terhad.
“Pasukan bomba bertungkus-lumus memadam kebakaran selama lebih seminggu membabitkan kawasan seluas 11 hektar sebelum ia berjaya dipadam sepenuhnya pada 7.40 pagi semalam.
“Memadam kebakaran gambut memerlukan kekuatan fizikal dan boleh mendedahkan anggota kepada haba berpanjangan, asap tebal serta zarah halus,” katanya.







