SHAH ALAM, 30 MAC: Orang ramai diingatkan tidak melakukan pembakaran terbuka susulan cuaca panas dan kering ketika ini yang meningkatkan risiko kebakaran serta pencemaran udara.
Jabatan Alam Sekitar (JAS) menegaskan keadaan suhu tinggi dan kekurangan hujan menjadikan persekitaran mudah terbakar walaupun dengan percikan api kecil.
“Dalam keadaan cuaca panas ini, satu tindakan kecil boleh membawa bencana besar termasuk kebakaran tidak terkawal serta jerebu,” menurut kenyataan itu.
Menurut JAS, pembakaran terbuka bukan sahaja mencemarkan udara dan menjejaskan sistem pernafasan, malah menyumbang kepada perubahan iklim serta memusnahkan habitat semula jadi.
Tambahnya, kebakaran di kawasan tanah gambut lebih berbahaya kerana api boleh merebak di bawah permukaan tanah dan sukar dipadam.
Sehubungan itu, orang ramai digesa tidak membakar sampah atau sisa kebun, sebaliknya menggunakan kaedah pelupusan yang lebih selamat.
“Pembakaran terbuka adalah dilarang di bawah Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974 dan pesalah boleh dikenakan denda sehingga RM1 juta atau penjara sehingga lima tahun atau kedua-duanya,” katanya.
JAS turut menggesa orang ramai melaporkan segera sebarang aktiviti pembakaran bagi mengelakkan kejadian tidak diingini.








