KUALA LUMPUR, 22 JAN: Seorang penyelia tukang cuci mengalami kecederaan selepas motosikal yang ditunggang melanggar seekor kuda yang berkeliaran di Jalan Batang Kali-Genting Highlands, pagi tadi.
Ketua Polis Daerah Hulu Selangor Supt Ibrahim Husin berkata dalam kemalangan yang berlaku kira-kira 9 pagi itu, kuda berkenaan mati di tempat kejadian.
“Wanita berusia 47 tahun tersebut sedang dalam perjalanan dari Batang Kali ke tempat kerja di Genting Highlands dan terlanggar seekor kuda yang berada di atas jalan bersama sekumpulan kuda lain ketika melalui satu selekoh di laluan berkenaan.
“Penunggang motosikal dibawa ke Hospital Kuala Kubu Bharu kerana mengalami kecederaan pada kaki kanan dan kiri manakala kuda yang mati telah ditanam oleh orang awam,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Ibrahim berkata polis menerima maklumat mengenai insiden tersebut pada 9.50 pagi melalui Kaunter Aduan Trafik IPD Hulu Selangor.
Beliau berkata siasatan lanjut kini dijalankan mengikut Rule 33(1) LN 166/59 kerana meninggalkan binatang di jalan raya tanpa dikawal.
Pihak polis turut meminta orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kemalangan itu untuk tampil membantu siasatan dengan menghubungi Pegawai Penyiasat Trafik Insp Nurul Anati Zulkifli di talian 03-60641222 atau mana-mana balai polis berdekatan.


