BANGI, 15 SEPT: Adaptasi kecerdasan buatan (AI) di peringkat sekolah antara perkara yang perlu diberi perhatian dalam menghadapi cabaran pendidikan pada masa depan.
Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari berkata pendedahan terhadap teknologi itu penting supaya pelajar bersedia berdepan perubahan selain mampu memanfaatkan AI untuk kebaikan masa depan.
"Ini antara perkara yang mungkin kita boleh berikan perhatian, bagaimana adaptasi AI ini boleh bermula daripada sekolah.
"Supaya pelajar-pelajar ini bersedia untuk bersaing dengan AI yang akan mengambil tugas mereka ataupun boleh menggunakan AI untuk kebaikan masa depan," katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pada Majlis Makan Malam Perdana sempena Persidangan Kebangsaan Pengurusan Pendidikan Pengetua Sekolah Malaysia Kali Ke-64 Tahun 2026 di Hotel Tenera di sini, malam tadi.

Majlis turut dihadiri Pengarah Pendidikan Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Selangor, Datin Wan Nor Ashikin Abu Kassim serta 689 pengetua dari seluruh Malaysia.
Amirudin berkata sokongan berterusan terhadap sektor pendidikan penting bagi memastikan Selangor kekal berdaya saing, mengambil kira jumlah murid dan guru yang besar di negeri ini.
"Kita mempunyai hampir sejuta murid, 63,000 guru yang sebahagiannya guru-guru sekolah menengah. Sebab itu sokongan berterusan kepada sektor pendidikan sangat penting untuk memastikan Selangor terus berdaya saing," katanya.
Menurut beliau, Kerajaan Negeri sentiasa berhubung dengan Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) dan Jabatan Pendidikan Negeri dari semasa ke semasa bagi menangani pelbagai isu berkaitan pendidikan.
Katanya, usaha itu bukan sahaja melibatkan aspek akademik, malah merangkumi pembangunan pelajar termasuk latihan dan kepimpinan.

"Baru-baru ini juga saya bertemu dengan hampir 400 pelajar yang berisiko dan bermasalah. Kita sedang tengok dan cuba bantu apa yang boleh kita tangani dan kita hadapi," katanya.
Dalam perkembangan sama, Kerajaan Negeri turut memperuntukkan RM50,000 kepada Majlis Pengetua Sekolah Malaysia (MPSM) Selangor bagi membantu penganjuran acara sebagai tuan rumah, aktiviti persatuan serta usaha memartabatkan perkhidmatan guru.
Amirudin berkata peruntukan yang dipohon MPSM Selangor itu akan dibayar secara sekali gus dalam tempoh satu hingga dua minggu.
"Selain membantu untuk penganjuran acara yang kita jadi tuan rumah tahun ini, mereka (MPSM) juga boleh gunakan untuk aktiviti persatuan.
"Insya-Allah akan digunakan sebaik mungkin bagi memartabatkan perkhidmatan guru-guru dan juga aktiviti pengetua-pengetua seluruh Selangor," katanya.









