SHAH ALAM, 14 SEPT: Polis telah menahan seorang lelaki yang dipercayai menyepak anak perempuannya di sebuah restoran semalam.
Ketua Polis Daerah Kota Bharu Asisten Komisioner Mohd Azmir Damiri berkata suspek berusia 40-an itu menyerah diri di Balai Polis Kota Bharu dan kini ditahan reman untuk siasatan lanjut, lapor Harian Metro.
"Kita sudah menahan suspek semalam selepas lelaki itu tampil menyerah diri. Suspek kini ditahan reman untuk siasatan lanjut.
"Kes disiasat mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001," katanya.
Semalam media melaporkan, polis sedang mengesan seorang lelaki dan anak perempuannya bagi membantu siasatan berhubung satu rakaman video tular memaparkan lelaki itu bertindak kasar dengan menyepak kanak-kanak itu di sebuah kedai makan di Telipot.
Polis menerima laporan daripada orang awam berhubung video tular di media sosial aplikasi Threads jam 10.24 malam kelmarin.
Berdasarkan rakaman berkenaan, seorang lelaki dilihat bertindak kasar dengan menyepak seorang kanak-kanak perempuan yang dipercayai anaknya.
Rakaman video berkenaan dimuat naik oleh pemilik premis berkenaan di media sosial.







