SHAH ALAM, 14 SEPT: Kanak-kanak perempuan, Nur Haira Wafiqah Mohammad Hamizi, 2, yang menjadi mangsa serangan anjing liar dijangka menjalani pembedahan plastik pada bahagian kepala dan muka dalam masa terdekat.
Ibu saudaranya yang hanya mahu dikenali sebagai Nur, 23, berkata perkara itu dimaklumkan ibu bapa Nur Haira yang kini menemaninya di Hospital Sultanah Aminah (HSA), Johor Bahru, lapor Berita Harian.
Katanya, pembedahan plastik menjadi pilihan bagi memulihkan kecederaan dialami kanak-kanak itu kerana rawatan atau pembedahan biasa tidak sesuai dengan keadaannya.
“Itu cara yang ada untuk memulihkan kecederaan memandangkan rawatan atau pembedahan biasa tidak sesuai.
“Apa yang kami diberitahu, Nur Haira sudah mampu bernafas sendiri tanpa bantuan alat pernafasan. Dia juga sudah boleh membuka mata, cuma tiada maklum balas.
“Ketika ini, pasukan perubatan masih memantau keadaannya. Kami juga meminta jasa baik orang ramai supaya mendoakan Nur Haira agar cepat sembuh,” katanya ketika ditemui hari ini.
Sementara itu, Nur berkata penduduk Kampung Tambak, Peserai kini berdepan ancaman sekumpulan anjing liar lain, meskipun usaha menangkap semua anjing yang menyerang Nur Haira masih belum selesai.
Katanya, kumpulan kira-kira 10 ekor anjing itu dilihat berkeliaran di kebun sawit di belakang rumah datuk kanak-kanak terbabit sekitar jam 11 pagi tadi.
Malah, kelibat kumpulan anjing berkenaan sempat dirakam penduduk sebelum haiwan itu menghilang di kawasan sekitar.
“Saya percaya ada 10 ekor anjing lain muncul di kebun sawit sekitar jam 11 pagi tadi.
“Sebelum ini, pihak berkuasa sudah menangkap tujuh ekor anjing termasuk lima anaknya yang menyerang Nur Haira. Tiga ekor lagi belum dapat ditangkap dan masih berkeliaran di sekitar rumah.
“Namun, muncul pula sekumpulan anjing liar lain yang dikhuatiri mengundang masalah dan mengganggu keselamatan penduduk,” katanya.
Terdahulu, media melaporkan, mangsa ditemukan dalam keadaan berlumuran darah dengan bahagian kepala serta pipi parah akibat digigit lima ekor anjing.
Insiden itu disedari nenek mangsa, Darlinda Darlis, 56, yang menjerit sekuat hati meminta pertolongan sebaik melihat haiwan terbabit menyerang mangsa di hadapan rumah.





