Ibu mangsa kes tikam di Bandar Utama tekad terus tuntut keadilan

14 Sep 2026, 8:54 AM
Ibu mangsa kes tikam di Bandar Utama tekad terus tuntut keadilan

SHAH ALAM, 14 SEPT: Hampir setahun selepas kehilangan anak perempuannya dalam kejadian kes tikam di sebuah sekolah di Bandar Utama, Wong Lee Ping masih menyimpan kesedihan atas pemergian Yap Shing Xuen, 16.

Menerusi hantaran di Facebook hari ini, Lee Ping meluahkan perasaannya susulan keputusan Mahkamah Tinggi yang mendapati remaja lelaki didakwa membunuh anaknya tidak waras ketika kejadian.

Beliau turut menegaskan akan terus menuntut keadilan buat anak perempuannya.

Lee Ping mengenang Shing Xuen sebagai seorang anak yang berdisiplin, prihatin dan rajin serta mempunyai banyak impian yang belum sempat direalisasikan.

“Dia baru sahaja memulakan hidupnya.

“Dia masih mempunyai banyak impian, banyak perkara yang mahu dilakukan, banyak tempat yang belum pernah dilawati dan begitu banyak masa depan yang tidak sempat dirasainya,” katanya.

Menurut Lee Ping, anaknya sentiasa mengingati hari lahir dan Hari Ibu, selain menyimpan wang saku serta angpau Tahun Baharu Cina untuk membeli hadiah kepadanya.

Katanya, detik kecil bersama anaknya yang dahulu dianggap biasa kini menjadi antara kenangan paling berharga.

“Apa yang paling sukar untuk dilepaskan oleh seorang ibu bukannya hadiah mahal yang pernah diberikan oleh anaknya.

“Tetapi detik biasa yang pernah kita anggap remeh, namun tidak akan berlaku lagi,” katanya.

Lee Ping turut berkongsi bahawa beliau meneruskan rutin harian dan pekerjaan sepanjang tahun lalu, namun merasakan sebahagian penting dalam kehidupannya telah hilang selepas pemergian Shing Xuen.

“Ada kesakitan yang tidak akan hilang mengikut peredaran masa.

“Kita cuma belajar, sedikit demi sedikit, untuk terus hidup sambil membawa kesakitan itu bersama kita,” katanya.

Susulan keputusan mahkamah hari ini, beliau menegaskan tidak akan berhenti menuntut keadilan buat anaknya.

“Kamu tidak akan pernah hilang dari hidup ibu. Mulai hari itu, ibu hanya mampu menyayangi kamu dengan cara yang berbeza.

“Anakku yang tersayang, ibu rindu kamu,” katanya.

Dalam prosiding hari ini, Mahkamah Tinggi mendapati remaja lelaki berusia 15 tahun yang didakwa membunuh Shing Xuen tidak waras ketika kejadian pada 14 Oktober tahun lalu.

Hakim Datuk Adlin Abdul Majid memerintahkan remaja berkenaan ditahan dan menjalani rawatan di Hospital Bahagia Ulu Kinta, Perak mengikut perkenan Sultan Selangor.

Kategorinasional

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.