Piala Jubli Perak: 48 sekolah buru kejuaraan bola sepak, tawar hadiah tunai

14 Sep 2026, 7:21 AM
Piala Jubli Perak: 48 sekolah buru kejuaraan bola sepak, tawar hadiah tunai
Piala Jubli Perak: 48 sekolah buru kejuaraan bola sepak, tawar hadiah tunai

SHAH ALAM, 14 SEPT: Sebanyak 48 pasukan sekolah bakal berentap merebut kejuaraan Kejohanan Bola Sepak Piala Jubli Perak sempena Sambutan Jubli Perak, 25 tahun pemerintahan Duli Yang Maha Mulia (DYMM) Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj.

Pengerusi Jawatankuasa Induk Kejohanan Dato’ Emran Kadir berkata kejohanan itu diadakan atas titah Tuanku bersempena sambutan berkenaan.

Menurutnya, penganjuran kejohanan berkenaan dilaksanakan seperti Piala Raja Muda Selangor yang diadakan setiap tahun.

“Perbezaan tahun ini ialah penyertaan ditingkatkan daripada 32 kepada 48 pasukan mengikut format Piala Dunia,” katanya ketika ditemui pada Majlis Penyerahan Tajaan Kejohanan Bola Sepak Piala Jubli Perak di Dewan Karangkraf hari ini.

Kejohanan peringkat umur 15 tahun itu turut menawarkan hadiah tunai kepada pasukan yang berjaya menempatkan diri dalam kelompok empat terbaik.

Pengerusi Jawatankuasa Induk Kejohanan yang juga Orang Besar Daerah Petaling, Dato' Emran Kadir ditemui media ketika Majlis Penyerahan Tajaan Kejohanan Bola Sepak Piala Jubli Perak sempena sambutan ulang tahun pemerintahan Duli Yang Maha Mulia (DYMM) Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj di Dewan Karangkraf pada 15 September 2026. Foto NUR ADIBAH AHMAD IZAM/MEDIASELANGOR

“Ini merupakan satu-satunya kejohanan yang memberikan hadiah tunai di peringkat sekolah, peringkat umur 15 tahun di mana juara akan menerima RM12,000, naib juara RM9,000, tempat ketiga RM7,000 dan tempat keempat RM5,000,” katanya.

Beliau berkata Piala Jubli Perak hanya dipertandingkan tahun ini sempena 25 tahun pemerintahan Sultan Selangor sebelum kejohanan kembali menggunakan nama Piala Raja Muda Selangor.

Menurutnya, Piala Jubli Perak merupakan piala khas yang disumbangkan Sultan Selangor dan akan disimpan oleh sekolah juara untuk tempoh tertentu selepas pertandingan akhir.

“Piala Jubli Perak itu kita akan ambil semula dan disimpan kekal di Muzium Galeri Bola Sepak Selangor di Istana Alam Shah.

"Piala iringan yang mempunyai bentuk sama seperti Piala Jubli Perak akan diberikan kepada sekolah juara untuk disimpan,” katanya.

Perlawanan pertama dijadual berlangsung pada 22 September manakala aksi final pada 31 Oktober di Stadium MBPJ dan dijangka diserikan dengan keberangkatan Sultan Selangor.

Kategoriselangor

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.