Fahami sejarah, hayati Rukun Negara perkukuh perpaduan

16 Sep 2026, 1:00 AM
Fahami sejarah, hayati Rukun Negara perkukuh perpaduan

SHAH ALAM, 16 SEPT: Pemahaman terhadap sejarah negara penting bagi membolehkan rakyat menghayati Rukun Negara sekali gus memperkukuh perpaduan dalam masyarakat berbilang kaum.

Penolong Naib Canselor (Pemerkasaan Adiwangsa) Universiti Teknologi MARA Profesor Dr Amer Shakir Zainol berkata masyarakat perlu menghayati latar belakang pembentukan Rukun Negara serta kepentingannya dalam membina negara yang harmoni.

“Sejarah memainkan peranan sangat penting sebab kalau kita tidak melihat sejarah sebagai faktor untuk membuat pertimbangan, saya khuatir kita akan membuat satu keputusan hanya berdasarkan rasa.

“Sejarah penting untuk kita tahu mengapa timbulnya Rukun Negara dan mengapa perpaduan sangat penting,” katanya dalam program Bicara Semasa terbitan Media Selangor, baru-baru ini.

Dr Amer berkata penghayatan Rukun Negara tidak seharusnya terhenti pada hafalan atau lafaz dalam majlis rasmi, sebaliknya perlu diterjemahkan dalam hubungan sesama masyarakat.

Menurutnya, rakyat juga perlu mencari titik persamaan dan tidak membesarkan perbezaan yang boleh menjarakkan hubungan antara kaum.

“Sesebuah negara tidak boleh mencapai satu keseimbangan yang sempurna kalau masih ada prejudis, masih ada persepsi, masih ada ruang untuk kita menaburkan fitnah.

“Kalau masih lagi membesarkan perbezaan daripada persamaan, bagi saya kita carilah persamaan dan mengurangkan atau mengecilkan jurang perbezaan itu,” katanya.

Beliau berkata kepelbagaian budaya di Malaysia seharusnya menjadi ruang untuk masyarakat saling mengenali dan memahami, sekali gus membentuk sikap timbang rasa.

Pada masa sama, Dr Amer turut menegaskan perpaduan antara cita-cita utama Rukun Negara dan perlu menjadi asas dalam usaha membangunkan negara.

“Bangunkanlah negara sebagaimana sekalipun, kalau tidak ada perpaduan maka negara tersebut tidak boleh mencapai cita-cita Rukun Negara,” katanya.

Sempena sambutan Hari Malaysia hari ini, beliau berharap rakyat terus memahami, menghayati dan melaksanakan prinsip Rukun Negara dalam kehidupan seharian.

“Satu sahaja yang saya harapkan, kita sama-sama menghayati, memahami dan melaksanakan apa yang terkandung dalam Rukun Negara,” katanya.

Kategorinasional

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.