NEW DELHI, 13 SEPT: Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menggesa sistem pembiayaan global yang lebih adil, sambil menegaskan bahawa tiada negara sepatutnya dipaksa memilih antara membayar hutang dan memenuhi tanggungjawab kepada rakyatnya.
“Banyak negara membangun berdepan kesukaran membayar hutang atau berisiko tinggi mengalaminya, dengan sesetengahnya membelanjakan lebih banyak untuk bayaran faedah berbanding pendidikan generasi muda atau penjagaan kesihatan rakyat.
“Tiada negara sepatutnya dipaksa memilih antara melunaskan hutang dan menunaikan tanggungjawabnya kepada rakyat,” katanya ketika menyampaikan Kenyataan Negara mengenai Membentuk Masa Depan ke arah Pertumbuhan Global yang Inklusif pada penghujung Sidang Kemuncak Pemimpin BRICS ke-18 di sini hari ini.
Anwar, yang juga Menteri Kewangan, berkata pembiayaan perlu “sesuai dengan tujuan dan keperluan”, sambil menegaskan bahawa usaha memenuhi keperluan asas dan menyediakan kemudahan awam tidak seharusnya menyebabkan sesebuah negara menanggung beban hutang yang tidak mampan.
Beliau turut menekankan peranan modal komersial apabila disalurkan berdasarkan terma yang wajar dan mampan, selain menggesa kemajuan dalam inisiatif termasuk New Development Bank, mekanisme penyelesaian dalam mata wang tempatan serta potensi pasaran modal Islam.
Perdana Menteri menggesa negara-negara mengambil tindakan konkrit untuk menghapuskan amalan perdagangan yang tidak adil, selain berkongsi pengalaman pembangunan, kerjasama teknikal dan latihan dalam bidang baharu seperti semikonduktor dan kecerdasan buatan.
Mengenai peralihan hijau, beliau berkata negara-negara perlu diberi ruang untuk bergerak pada kadar dan melalui laluan yang berbeza, mengikut keadaan serta tahap pembangunan masing-masing.
“Kita perlu melabur dalam teknologi seperti penangkapan, penggunaan dan penyimpanan karbon sebagai sebahagian daripada usaha peralihan kita sendiri,” katanya.
Anwar turut menyifatkan BRICS sebagai menawarkan “kelebihan geoekonomi yang penting”, dengan pasaran bersepadu yang luas berpotensi membuka peluang mempelbagaikan perdagangan dan membantu ekonomi anggota mengurangkan kebergantungan berlebihan terhadap pasaran Barat tradisional.
“Sinergi yang diwujudkan dan dimanfaatkan secara optimum akan menjadi pemangkin kepada pertumbuhan ekonomi dan kemakmuran bersama,” katanya.
Mengenai Asia Barat, Anwar berkata pertumbuhan dan kemakmuran yang inklusif tidak boleh dibincangkan ketika peperangan mendorong kenaikan harga tenaga dan mengancam laluan perkapalan yang menjadi nadi kepada ekonomi dunia.
“Pendirian Malaysia jelas. Kedaulatan mesti dihormati, orang awam mesti dilindungi dan laluan yang menjadi nadi ekonomi global mesti dijauhkan daripada medan peperangan.
“Pihak yang mempunyai keupayaan terbesar untuk mempengaruhi perkembangan mempunyai tanggungjawab khusus untuk mencegah konflik daripada terus meningkat,” katanya.
Anwar berkata Malaysia berharap BRICS menyatakan dengan jelas bahawa “pendudukan, kolonialisme peneroka atau, lebih tepat lagi, ‘keganasan peneroka’ tidak boleh menjadi suatu takdir dan tiada nyawa yang kurang nilainya hanya kerana tempat seseorang itu menjalani kehidupan.”
Beliau berkata BRICS boleh memperluas pilihan dan memperkukuh keupayaan negara untuk membentuk dunia di sekeliling mereka, namun menegaskan bahawa pengaruh bukanlah matlamat itu sendiri.
“Bagi Malaysia, autonomi strategik bermakna kebebasan untuk menentukan haluan sendiri dan keberanian untuk mempertahankan pilihan itu apabila diperlukan. Sebagai Negara Rakan BRICS, Malaysia berharap dapat menyumbang dalam semangat itu,” kata beliau.
-- BERNAMA
TAG: Perdana Menteri, Anwar Ibrahim, BRICS, pembiayaan, hutang, Sidang Kemuncak Pemimpin BRICS







