Kerajaan tidak pernah keluar arahan tangguh siasatan kes FELDA - Anwar

20 Okt 2026, 5:36 AM
Kerajaan tidak pernah keluar arahan tangguh siasatan kes FELDA - Anwar

KUALA LUMPUR, 20 OKT: Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata tiada arahan dikeluarkan untuk menangguhkan atau menghentikan siasatan kes penyelewengan membabitkan Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (FELDA).

Beliau yang juga Menteri Kewangan berkata proses berkenaan mengambil masa, bagi memastikan kertas siasatan lengkap sebelum tindakan pendakwaan diambil.

“(Kes) FELDA ini memang dimaklumkan kepada Jemaah Menteri dan tidak ada yang menghalang siasatan, cuma diminta siasatan itu dilaksanakan dengan telus,” kata Perdana Menteri pada sesi Waktu Pertanyaan-Pertanyaan Menteri di Dewan Rakyat hari ini.

Beliau menjawab soalan tambahan Ahmad Fadhli Shaari (PN-Pasir Mas), yang ingin tahu mengapa pendakwaan berkaitan isu FELDA hanya dilakukan sekarang sedangkan urus niaga yang dipertikaikan berlaku antara 2010 hingga 2020.

Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata kertas putih berkaitan FELDA telah dibentangkan pada 2019, namun tiada tindakan susulan diambil sehingga kerajaan mengambil alih pentadbiran pada 2022.

Perdana Menteri berkata kerajaan kemudiannya menubuhkan jawatankuasa petugas khas FELDA, yang mengambil masa kira-kira setahun, sebelum proses siasatan dimulakan.

“Jadi tidak ada penangguhan cuma timing itu (mengambil masa),” kata beliau.

Anwar berkata antara faktor yang menyebabkan proses itu berlarutan dalam tempoh yang lama, berikutan kertas siasatan beberapa kali dikembalikan oleh Jabatan Peguam Negara untuk melengkapkan aspek yang masih mempunyai kelompongan.

“Dalam kes FELDA itu, kertas siasatan berulang-alik kepada Peguam Negara sampai tiga hingga empat kali. Peguam Negara kata ada kelompongan, kemudian dikembalikan dan proses itu mengambil masa tiga hingga empat bulan,” kata beliau.

Perdana Menteri berkata kerajaan perlu memastikan siasatan mempunyai asas yang kukuh sebelum seseorang didakwa, malah tindakan penguatkuasaan tidak seharusnya dilakukan secara tergesa-gesa sehingga menjejaskan ketelusan proses perundangan.

Dalam masa sama, Anwar berkata tindakan pendakwaan bukan dibuat semata-mata berdasarkan kerugian yang dialami FELDA, tetapi ia juga berasaskan bukti salah laku termasuk salah guna kuasa dan penyelewengan dalam pengurusan urus niaga.

Beliau berkata kerajaan akan terus memastikan siasatan berjalan tanpa campur tangan, manakala proses penyiasatan dan tindakan lanjut diserahkan kepada agensi penguatkuasaan yang bertanggungjawab.

-- BERNAMA

Kategorinasional

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.