SHAH ALAM, 13 SEPT: Seorang lelaki berusia 60 tahun maut selepas motosikal ditunggangnya terbabit dalam kemalangan dengan sebuah lori di Jalan Batang Kali–Ulu Yam, Hulu Selangor, malam semalam.
Ketua Polis Daerah Hulu Selangor, M Manimaran berkata, kemalangan berlaku kira-kira jam 7 malam ketika sebuah lori yang dipandu lelaki berusia 45 tahun dalam perjalanan ke Pulau Pinang bagi menghantar barang.
Beliau berkata, siasatan awal mendapati penunggang motosikal berkenaan datang dari arah belakang dan dipercayai cuba memotong lori terbabit dari sebelah kanan.
“Pada masa sama, terdapat seorang pejalan kaki sedang melintas jalan raya.
“Penunggang motosikal dipercayai cuba mengelak pejalan kaki berkenaan sebelum hilang kawalan dan terjatuh," katanya menerusi kenyataan.
Mangsa dipercayai telah digilis oleh lori berkenaan dan disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian oleh pegawai perubatan yang bertugas.
Polis menerima maklumat mengenai kemalangan itu kira-kira jam 7.30 malam melalui Kaunter Aduan Trafik.
Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
Polis memohon mana-mana individu yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian supaya tampil membantu siasatan.
Maklumat boleh disalurkan kepada Pegawai Penyiasat Trafik, Inspektor Khairul Salleh bin Abdul Rahman menerusi talian 03-6064 1222 atau mana-mana balai polis berhampiran.






