SHAH ALAM, 11 SEPT: Seorang lelaki berusia 57 tahun disyaki melarikan 70 keping emas tulen bernilai RM150,000 selepas berpura-pura mahu berunding untuk membelinya di sebuah inap desa pada malam Selasa lalu.
Suspek dipercayai menggunakan laluan belakang rumah untuk melarikan diri selepas mangsa menyerahkan emas berkenaan kepadanya untuk diteliti.
Bagaimanapun, taktik itu gagal apabila suspek ditahan keesokan harinya di sebuah hotel di Brickfields, Kuala Lumpur.
Ketua Polis Daerah Klang Selatan Asisten Komisioner Lim Jit Huey berkata polis sebelum itu menerima laporan daripada seorang lelaki berusia 28 tahun yang bekerja sebagai penghantar barang kemas.
“Siasatan mendapati suspek berpura-pura mengajak mangsa ke inap desa berkenaan kononnya untuk urusan jual beli emas.
“Apabila mangsa menyerahkan 70 keping emas kepada suspek untuk diteliti, suspek masuk ke dalam bilik dan melarikan diri melalui laluan belakang rumah,” katanya.
Jit Huey berkata semua emas yang dilarikan turut berjaya dirampas semula ketika suspek ditahan.
“Semasa tangkapan, polis merampas kembali semua emas dilarikan itu,” katanya.
Menurutnya, suspek mempunyai tujuh rekod lampau jenayah dan direman selama empat hari mulai semalam hingga 13 September ini.
Kes disiasat mengikut Seksyen 380 Kanun Keseksaan atas kesalahan mencuri dalam bangunan.






