SHAH ALAM, 7 SEPT: Lelaki berusia 36 tahun ditahan bagi membantu siasatan selepas isterinya mendakwa dipukul dan dikurung di sebuah rumah di Desa Mutiara, Jalan Gong Badak, Kuala Terengganu semalam.
Ketua Polis Daerah Kuala Terengganu Asisten Komisioner Azli Mohd Noor berkata pihaknya menerima panggilan daripada seorang wanita yang memaklumkan dirinya didera dan dikurung suaminya di dalam rumah.
Susulan itu, sepasukan anggota dari Balai Polis Gong Badak bergegas ke lokasi bagi membantu mangsa dan empat anak lelakinya yang berada di dalam kediaman berkenaan.
“Sebaik tiba, anggota polis mendapati wanita itu berada dalam rumah bersama empat anak lelakinya, manakala semua pintu rumah dikunci menggunakan mangga,” katanya lapor Harian Metro.
Menurut Azli, mangsa kemudian memaklumkan dirinya dipukul oleh suaminya sebelum meminta bantuan polis membuka pintu rumah. Anggota bertindak memotong mangga bagi membolehkan wanita terbabit dan anak-anaknya keluar.
Beliau berkata pemeriksaan mendapati mangsa mengalami kecederaan pada bahagian mata kanan selain mengadu sakit di kepala dan lutut kiri.
“Wanita itu bersama empat anaknya dibawa ke balai polis untuk tindakan lanjut, manakala siasatan awal mendapati mangsa dipercayai dipukul oleh suspek kerana cemburu,” katanya.
Azli berkata polis kemudian meminta suspek menyerah diri bagi membantu siasatan sebelum lelaki terbabit hadir ke Balai Polis Gong Badak kira-kira jam 3 petang semalam dan ditahan.
Menurutnya, semakan mendapati suspek mempunyai tiga rekod lampau berkaitan kesalahan dadah dan jenayah, manakala siasatan awal mendapati lelaki itu mengaku terbabit dalam kes berkenaan.
Suspek direman selama empat hari bermula hari ini bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 324 dan 326A Kanun Keseksaan.







