KUALA LUMPUR, 30 MEI: “Ini peluang terakhir saya.”
Itu ungkapan yang menjadi azimat Nur Izzati Norazmi dalam perjuangan panjangnya merebut kejayaan sebagai Johan Hafazan Al-Quran Peringkat Kebangsaan bagi kategori 1 hingga 20 juzuk perempuan.
Kejayaan tersebut bukan hadir dengan mudah. Di sebalik ketenangan dan kelancarannya mengalunkan ayat suci Al-Quran, tersimpan perjalanan penuh cabaran, disiplin dan pengorbanan yang dibina sejak usia remaja.
Nur Izzati, 25, berkata, minatnya dalam bidang hafazan bermula ketika berusia 15 tahun selepas didorong seorang guru untuk menjalani ujian hafazan sebelum diserap ke Akademi Literasi Al-Quran Selangor (ALAS).
“Sejak itu saya terus konsisten mengembangkan bakat dalam hafazan. Saya pernah mewakili Wilayah Persekutuan pada 2022 sebelum membawa cabaran Selangor bagi kategori 1 hingga 10 juzuk pada 2025 dan 1 hingga 20 juzuk tahun ini.
“Setiap hari saya akan ulang sekurang-kurangnya empat juzuk selain tasmik satu juzuk bersama jurulatih. Saya juga banyak berlatih dengan guru-guru yang sangat membantu dari segi hafalan dan bacaan,” katanya kepada Media Selangor.

Namun, Nur Izzati turut mengakui berdepan cabaran, antaranya gangguan gajet yang menjejaskan fokus hafazan serta kekangan masa terutama ketika cuti panjang dan musim persiapan perayaan.
Beliau berkata situasi itu menuntut disiplin tinggi dengan menetapkan masa khusus untuk ulang kaji selain mengelakkan penggunaan gajet dan mencari ruang waktu walaupun dalam kesibukan harian.
“Persiapan pertandingan tahun ini lebih mencabar kerana berlangsung kira-kira sebulan selepas Hari Raya Aidilfitri, sekali gus saya perlu memanfaatkan tempoh cuti untuk terus istiqamah mengulang hafazan.
“Saya perlu mendisiplinkan diri dengan menetapkan masa khusus untuk ulang kaji selain cuba menjauhkan diri daripada gajet walaupun sibuk membantu keluarga membuat persiapan raya seperti memasak,” ujarnya.

Anak kedua daripada lima beradik itu turut melalui detik kekecewaan apabila beberapa kali sekadar melepasi peringkat awal pertandingan. Malah, statusnya sebagai peserta berulang turut memberi tekanan apabila sering diletakkan harapan tinggi untuk muncul juara.
Bagaimanapun, semangat yang tidak pernah putus daripada guru-guru menjadi kekuatan terbesar untuk beliau terus bangkit, terutama apabila tahun ini merupakan peluang terakhirnya untuk bertanding dalam kategori tersebut.
“Alhamdulillah, saya sangat bersyukur apabila akhirnya dinobatkan sebagai Johan Hafazan Kebangsaan. Segala usaha sebelum ini terbalas, apatah lagi guru-guru sentiasa memberi semangat untuk saya teruskan kerana ini merupakan tahun terakhir saya layak.
“Walaupun pernah rasa putus asa selepas hanya mara ke peringkat negeri dalam kategori 1 hingga 20 juzuk sebelum ini, saya percaya dengan konsistensi dan tawakal kepada Allah SWT, akhirnya kejayaan ini menjadi kenangan paling manis buat saya,” tambahnya.

Di sebalik kejayaan yang diraih, Nur Izzati tidak berhasrat untuk berhenti di sini. Sebaliknya, beliau berharap dapat terus memperkukuh hafazan 1 hingga 30 juzuk bersama guru selain menyertai lebih banyak pertandingan pada masa akan datang.
Dalam masa sama, beliau juga sedang menyempurnakan pengajian Ijazah Sarjana Pengajian Islam (Sains Sosial dan Tingkah Laku) di Universiti Malaya (UM) dengan impian untuk bergelar pensyarah hafizah.
Lebih daripada itu, Nur Izzati turut menyimpan cita-cita untuk menjadi jurulatih hafazan bagi melahirkan lebih ramai pelapis hafizah yang cemerlang dalam hafalan Al-Quran serta berdisiplin dan istiqamah menjadikan kalam suci itu panduan hidup.
Pada 18 April lalu, Nur Izzati menjuarai kategori Hafazan Juzuk 1 hingga 20 perempuan dengan markah 98.45 pada Majlis Tilawah dan Hafazan Al-Quran Peringkat Kebangsaan 2026 sekali gus membantu Selangor muncul juara keseluruhan.










