
SHAH ALAM, 10 SEPT: Kejayaan Kontinjen Para SUKMA Selangor perlu dijadikan pemangkin untuk terus mencungkil bakat atlet orang kurang upaya (OKU) serta memperkukuh pembangunan sukan para di negeri ini.
Ketua Kontinjen Para SUKMA Selangor, Lim Yi Wei berkata, persiapan bersama Majlis Sukan Negeri Selangor (MSNS) menunjukkan satu model pembangunan sukan yang baik dan wajar diteruskan bagi memastikan atlet para menerima latihan serta sokongan secara berterusan.
“Dengan adanya model seperti ini, kita boleh teruskan pembangunan sukan dan pada masa sama melatih kemahiran sukarelawan yang terlibat dalam SUKMA dan Para SUKMA.
“Ini bukan sahaja memberi inspirasi dan semangat kepada atlet, tetapi turut membantu membentuk ekosistem sukan Selangor yang lebih padu,” katanya pada sidang media pencapaian atlet Para SUKMA di Dewan Raja Musa, Kompleks Belia dan Kebudayaan Negeri Selangor di sini, hari ini.
Beliau berkata, penganjuran Para SUKMA juga membuka ruang lebih luas untuk mencungkil dan melahirkan bakat baharu dalam kalangan atlet OKU, selain meningkatkan perhatian terhadap pembangunan sukan para.
Menurut Yi Wei, pengalaman dan pencapaian yang diraih menerusi temasya berkenaan perlu dimanfaatkan sebagai asas untuk memperluas pembangunan atlet OKU, khususnya dari aspek latihan, pembangunan bakat dan sokongan masyarakat.
Katanya, Para SUKMA juga wajar diketengahkan sebagai antara model pembangunan sukan yang mampu meningkatkan penglibatan atlet OKU serta memperkukuh ekosistem sukan para di Malaysia.
“Kerjasama berterusan antara MSNS, atlet, jurulatih, sukarelawan, persatuan sukan dan semua pihak berkepentingan penting bagi memastikan momentum pembangunan sukan para di Selangor dapat dikekalkan,” katanya.








