
SHAH ALAM, 10 SEPT: Kecederaan lutut tidak menghalang atlet para tenpin bowling Selangor, Nadia Syafika Abdul Rahman, memberikan aksi terbaik apabila berjaya membantu pasukan meraih pingat emas dalam acara Trios - TPB8 + TPB9 + TPB10 Terbuka pada Para Sukan Malaysia (SUKMA) Selangor 2026.
Selangor muncul juara dengan catatan keseluruhan 2,325 jatuhan pin, sekali gus mengatasi Pahang dengan kelebihan 311 pin dalam acara berkenaan.
Katanya, pingat emas tersebut sememangnya menjadi sasaran pasukan selepas menjalani persiapan selama dua tahun bagi menghadapi temasya kali ini.
“Memang hari ini kita orang sasarkan emas. Alhamdulillah, hari ini kita orang dapatkan emas itu. Memang sangat-sangat bersyukur,” katanya.
Menurutnya, dia terpaksa menahan kesakitan akibat kecederaan lutut selepas beraksi secara berturut-turut sepanjang tiga hari kejohanan, namun tetap memilih untuk meneruskan saingan.
“Saya pun keadaan tak berapa nak baik sebab ada kecederaan, tetapi rakan sepasukan memang memberikan yang terbaik. Sokongan mereka memang sangat baik dan banyak menaikkan semangat,” katanya.
Beliau berkata keserasian bersama rakan sepasukan, Amin dan Rosheedey, turut membantu pasukan memberikan aksi terbaik dengan masing-masing memainkan peranan serta saling menyokong sepanjang pertandingan.
Mengulas persiapan, Nadia berkata pasukan telah menjalani latihan selama dua tahun dengan sesi latihan pada waktu pagi dan petang sebagai persediaan menghadapi Para SUKMA kali ini.
Dalam pada itu, kejayaan tersebut turut menyumbang kepada pencapaian cemerlang kontinjen Selangor yang mengumpul tujuh pingat emas, lima perak dan dua gangsa dalam acara tenpin bowling pada Para SUKMA Selangor 2026.
Nadia yang membuat penampilan kelima di SUKMA berkata keadaan kaki kanan yang membengkok sejak lahir tidak pernah menjadi penghalang untuk terus aktif dalam sukan berkenaan, selain menghargai sokongan keluarga sejak mula menceburi bowling pada usia 10 tahun.








