KKM umum jumlah penduduk terjejas akibat penangguhan FDS Sarawak segera

13 Sep 2026, 12:00 AM
KKM umum jumlah penduduk terjejas akibat penangguhan FDS Sarawak segera

IPOH, 13 SEPT: Jumlah penduduk yang terjejas dari segi akses kepada perkhidmatan rawatan berikutan penangguhan operasi Perkhidmatan Doktor Udara (FDS) di Sarawak akan dimaklumkan dalam masa terdekat.

Ketua Pengarah Kesihatan Datuk Dr Mahathar Abd Wahab berkata perkara itu akan diumumkan Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad.

Beliau berkata statistik penduduk yang terjejas telah dikumpulkan dan akan dikemukakan kepada Menteri Kesihatan untuk tindakan lanjut.

"Dalam masa terdekat, kita akan keluarkan (jumlah berkenaan),” katanya ketika ditemui pemberita selepas majlis makan malam Persatuan Perubatan Malaysia (MMA) 2026 yang turut dihadiri Presiden MMA Dr L. Sivanaesan di sini malam tadi.

Pada Khamis, Dzulkefly dilaporkan berkata semua operasi FDS di Sarawak ditangguhkan sementara berikutan insiden nahas membabitkan sebuah helikopter yang digunakan bagi perkhidmatan itu di Long Lellang.

Dzulkefly berkata penangguhan itu bagi membolehkan siasatan serta semakan terhadap mekanisme keselamatan dan operasi dilaksanakan pihak berkaitan.

Nahas pada Selasa lepas itu meragut nyawa kesemua lima individu yang menaiki helikopter BO-105 dikendalikan Layang-Layang Aerospace selepas helikopter itu terhempas berhampiran hujung landasan STOLport Long Lellang kira-kira 3.40 petang.

Mangsa yang terkorban pegawai perubatan Dr Ainul Baraah Kamaruddin, 33, pembantu perubatan Alexson Adit Henry, 31, serta dua jururawat, Debra Moset, 40, dan Jessie Paya Jok, 44, serta juruterbang Kapten Zainol Afiq Bee Sham, 30.

Kategorinasional

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.