KUALA LUMPUR, 9 SEPT: Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini mengenang jasa Allahyarham Kapten Zainol Afiq Bee Sham, juruterbang yang terlibat dalam nahas helikopter di Sarawak, semalam, sebagai seorang yang baik dan tinggi budi pekerti.
Anwar berkata beliau mempunyai kenangan tersendiri bersama Zainol Afiq yang pernah menerbangkan beliau semasa kempen Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15), termasuk sikap Allahyarham yang sentiasa bersalaman sebelum menaiki dan turun daripada helikopter serta membaca doa bersama.
Beliau berkata jasa dan khidmat juruterbang itu sentiasa dikenang serta meminta keluarganya memaklumkan kepada staf beliau sekiranya memerlukan sebarang bantuan.
“Dia orang baik, dia banyak bantu kita, perjuangan, jasa dan khidmat dia, dan apa yang patut kita bantu, tolong bagitahu staf saya dan Insya-Allah saya akan permudahkan,” kata beliau dalam petikan video perbualan telefon dengan bapa Allahyarham, Bee Sham Ahmad, yang dikongsikan menerusi Facebook.
Anwar menghubungi Bee Sham bagi menyampaikan salam takziah daripada beliau, isteri Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail dan keluarga kepada seluruh keluarga Allahyarham.
Beliau turut mendoakan agar Allah SWT mengurniakan kekuatan, ketabahan dan kesabaran kepada keluarga Allahyarham dalam menghadapi kehilangan itu serta mencucuri rahmat ke atas roh Allahyarham.
Perdana Menteri berkata beliau turut akan menghubungi keluarga mangsa lain termasuk doktor dan jururawat yang terkorban dalam nahas itu, selain mendoakan agar roh kesemua mangsa dilimpahi rahmat dan ditempatkan dalam kalangan para syuhada.
“Malaysia meratapi pengorbanan dan limpah bakti mereka kepada negara,” kata beliau.
Dalam pada itu, Anwar menyatakan komitmen bahawa Kerajaan MADANI akan memastikan segala bantuan dan keperluan keluarga mangsa nahas berkenaan didukung dan diberi pembelaan sewajarnya.
Semalam, helikopter BO-105 membawa lima individu termasuk juruterbang dilaporkan terhempas dan terbakar berhampiran Lapangan Terbang Long Lellang, Ulu Baram.
Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia (CAAM) dalam satu kenyataan petang semalam mengesahkan insiden berkenaan dan memaklumkan menerima notifikasi berhubung kejadian itu daripada Perkhidmatan Maklumat Penerbangan pada 3.58 petang.
Kementerian Kesihatan (KKM) dalam kenyataan memaklumkan helikopter yang berlepas dari Miri itu dikendalikan seorang juruterbang dan membawa seorang pegawai perubatan, seorang penolong pegawai perubatan serta dua jururawat yang sedang menjalankan tugas rasmi.











