Para SUKMA: Selangor raih 27 emas, kuasai acara renang

9 Sep 2026, 11:00 AM
Para SUKMA: Selangor raih 27 emas, kuasai acara renang
Para SUKMA: Selangor raih 27 emas, kuasai acara renang
Para SUKMA: Selangor raih 27 emas, kuasai acara renang

SHAH ALAM, 9 SEPT: Kontinjen Selangor terus mengukuhkan penguasaan acara renang Para Sukan Malaysia (SUKMA) 2026 selepas mengumpul 27 pingat emas setakat hari ketiga saingan di Pusat Akuatik Selangor hari ini.

Tuan rumah kini meraih keseluruhan 49 pingat menerusi 27 emas, lima perak dan 17 gangsa selepas menambah tujuh emas, satu perak serta sembilan gangsa pada hari ketiga.

Pencapaian itu membolehkan Selangor terus selesa mendahului carta kutipan pingat acara renang dengan kelebihan 13 emas berbanding Sabah di tempat kedua.

Sabah setakat ini mengumpul 14 emas, 13 perak dan sembilan gangsa manakala Sarawak berada di kedudukan ketiga dengan 10 emas, lima perak serta lapan gangsa.

Wilayah Persekutuan pula mengumpul tujuh emas, 17 perak dan enam gangsa sepanjang tiga hari pertandingan berlangsung.

Kutipan tujuh emas hari ini meneruskan momentum cemerlang Selangor selepas kontinjen negeri meraih 20 emas dalam tempoh dua hari pertama saingan.

Emas hari ketiga disumbangkan menerusi Durratun Musfirah Nor Ahmad menerusi acara 50m Gaya Bebas S14, Umar Abdul Rahman (50M Kuak Lentang S4), Nur Qaseh Qaisara Ahmad Saifudin (50M Kuak Lentang S4-S5) dan Carmen Lim (100M Kuak Dada SB6-SB8).

Tiga lagi emas hadir menerusi sumbangan Alysha Aryana Mohd Khairul Azli dalam acara 100M Kuak Dada SB14 dan 200M Gaya Bebas S14, selain kuartet 4 x 100M Gaya Bebas S14 yang diwakili Muhammad Alif Sufi Muhammad Azizul, Durratun Musfirah, Muhammad Irfan Zikry Aiwan Shah dan Alysha Aryana.

Dengan 27 emas selepas tiga hari saingan, Selangor kini mustahil dikejar kontinjen lain berbaki satu hari pertandingan, manakala 11 lagi pingat emas bakal menjadi rebutan pada hari terakhir acara renang esok.

Kategorisukankini

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.