IPOH, 9 SEPT: Sebelas individu termasuk enam penjawat awam dan lima ejen direman enam hari bagi membantu siasatan berhubung kes mengemukakan dokumen palsu dalam urusan pertukaran hak milik kenderaan (THM) melibatkan 16 nombor pendaftaran kepada Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ).
Majistret Norizan Riduan membenarkan permohonan reman bermula hari ini hingga 14 Sept itu di Mahkamah Majistret di sini hari ini.
Terdahulu, kesemua suspek tiba di mahkamah kira-kira 9.15 pagi.
Menurut sumber, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Perak menahan kesemua suspek terdiri daripada tujuh lelaki dan empat wanita kira-kira 10 malam tadi ketika hadir memberi keterangan di pejabat SPRM Perak.
"Siasatan awal mendapati perbuatan tersebut disyaki berlaku pada sekitar 2025. Ejen-ejen berkenaan disyaki berpakat dengan penjawat awam untuk mengemukakan dokumen palsu bagi membolehkan pertukaran hak milik kenderaan dibuat secara tidak sah," kata sumber berkenaan.







