Para SUKMA: Selangor optimis raih 60 emas meski acara ditangguh

8 Sep 2026, 5:42 AM
Para SUKMA: Selangor optimis raih 60 emas meski acara ditangguh
Para SUKMA: Selangor optimis raih 60 emas meski acara ditangguh
Para SUKMA: Selangor optimis raih 60 emas meski acara ditangguh
Para SUKMA: Selangor optimis raih 60 emas meski acara ditangguh

SHAH ALAM, 8 SEPT: Selangor masih mempunyai peluang untuk mengejar sasaran 60 pingat emas pada Para Sukan Malaysia (SUKMA) 2026, biarpun beberapa acara terpaksa ditangguhkan susulan keadaan jerebu.

Setakat 11 pagi tadi, kontinjen tuan rumah mengumpul 25 emas dengan renang dan olahraga muncul penyumbang terbesar, namun masih ketinggalan di belakang Sabah dalam kutipan emas.

EXCO Pembangunan Sukan Mohd Najwan Halimi berkata Selangor masih mempunyai baki dua hari setengah untuk merapatkan jurang dan memburu sasaran sebelum temasya melabuhkan tirai Khamis ini.

Beliau berkata penangguhan beberapa acara sebelum ini sedikit menjejaskan momentum kontinjen, namun yakin atlet Selangor mampu bangkit meneruskan saingan dalam tempoh berbaki.

“Setakat pagi tadi (11 pagi) kita dah capai 25 pingat emas, dengan acara akuatik dan olahraga menjadi penyumbang tertinggi. Kita tertinggal belakang Sabah.

“Penangguhan beberapa acara sebelum ini juga menjadi punca sasaran pingat agak tercicir namun kita di landasan yang baik. Bila tangguh acara, ia beri kesan kepada prestasi dan motivasi atlet,” katanya kepada pemberita.

Menteri Belia dan Sukan Dr Mohammed Taufiq Johari dan EXCO Sukan Mohd Najwan Halimi menyaksikan perlawanan badminton perseorangan lelaki Para sempena lawatan ke temasya Para SUKMA Selangor 2026 di Dewan KOMBES, Shah Alam pada 8 September 2026. Foto REMY ARIFIN/MEDIA SELANGOR

Mohd Najwan berharap atlet Selangor terus mengekalkan fokus dan memberikan aksi terbaik dalam baki pertandingan bagi membantu kontinjen mengejar kedudukan teratas sekali gus merealisasikan impian muncul juara keseluruhan buat kali pertama.

Dalam perkembangan berkaitan, beliau berkata tiada acara setakat ini dibatalkan susulan jerebu, sebaliknya pertandingan yang ditangguhkan akan diteruskan secara berperingkat mengikut kesesuaian masa.

Katanya, sekretariat sedang menyusun semula jadual pertandingan bagi memberi ruang kepada atlet meneruskan saingan tanpa menjejaskan kelancaran temasya.

“Semua 10 sukan yang dipertandingkan masih berjalan cuma mungkin ada perubahan dari segi jadual masa. Buat masa sekarang, situasi masih terkawal dan setiap hari kita dapatkan maklumat daripada Jabatan Kesihatan dan Jabatan Alam Sekitar.

“Ini untuk pastikan setiap acara dapat berlangsung dengan baik dan jerebu ini tidak jejaskan kesihatan atlet. Yang penting adalah kesihatan semua yang terlibat,” katanya.

Atlet para badminton Selangor beraksi pada peringkat kumpulan sempena Para SUKMA Selangor 2026 di Dewan KOMBES, Shah Alam pada 8 September 2026. Foto REMY ARIFIN/MEDIA SELANGOR

Para SUKMA yang berlangsung sejak 5 September lalu mempertandingkan 369 acara membabitkan 10 jenis sukan iaitu renang, olahraga, badminton, ping pong, tenpin boling, boling padang, memanah, catur, boccia dan powerlifting.

Kontinjen Selangor diketuai Lim Yi Wei dengan sasaran 60 pingat emas, selain memburu gelaran juara keseluruhan pada edisi kali ini.

Kategorisukankini

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.